RED Eagles Soccer Club (RESC) bakal mencipta sejarah tersendiri apabila tampil dengan kelainan dalam saingan Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 menerusi penyertaan pemain import dari Nigeria, Alli Barakat Bukola, yang mesra disapa Bint.
Pasukan yang berpangkalan di Kedah ini merupakan satu-satunya wakil dari zon utara tanah air dan akan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendaftarkan pemain import.
Ketua Jurulatih RESC, Mohd Firdaus Azid berkata, kehadiran Bint yang berusia 20 tahun diyakini mampu memperkukuh jentera serangan pasukan menjelang aksi pembukaan menentang juara bertahan, Kelana United FC pada 12 Julai ini.
“Bint merupakan pelajar di Universiti Antarabangsa Al-Bukhari dan beliau adalah pemain import pertama yang menyertai RESC sejak pasukan ini ditubuhkan.
“Beliau memiliki fizikal yang tinggi, bertubuh besar dan lincah di posisi serangan. Kami yakin kehadirannya mampu menambah ketajaman yang kami perlukan di bahagian hadapan,” katanya ketika ditemui pada majlis pengenalan pemain di Darulaman Golf & Country Club, di sini.
Tambah Firdaus, RESC yang kini dibarisi 23 pemain turut menampilkan 50 peratus muka baharu termasuk pemain dari Sabah dan Terengganu, manakala pemain berpengalaman akan terus menjadi tunjang utama pasukan.
Menurutnya, persiapan pasukan kini berada pada tahap 80 peratus dan skuad dijangka lengkap sepenuhnya sebelum sepak mula liga.
“Menariknya, kami juga menyenaraikan pemain paling muda berusia 15 tahun yang menunjukkan potensi besar untuk bersaing dalam kesebelasan utama,” ujarnya.
RESC akan bersaing bersama tujuh lagi pasukan dalam LWN musim ini iaitu Kelana United FC, Sabah FA, Selangor FC, Kuala Lumpur FA, KL Rangers FC, Young Tigress dan MBSJ FC.
Untuk rekod, RESC pernah menjuarai Liga Bolasepak Rakyat (LBR) Wanita dan muncul Naib Juara Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) pada 2017, sebelum menjuarai PTSR pada 2018 dan sekali lagi bergelar naib juara pada musim 2019.
Firdaus menegaskan, kehadiran pemain import seperti Bint bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pasukan, malah mencerminkan kemajuan bola sepak wanita tempatan yang semakin mendapat perhatian.
“Kami harap kehadiran Bint akan memberi impak positif kepada pasukan dan menjadi contoh kepada pemain muda tempatan untuk terus berusaha dan bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya lagi.