razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: “Dalam apa sahaja yang kita buat, restu mak ayah itu adalah perkara paling utama,” kata Muhammad Hareez Adzrami, 25, atau mesra disapa Haroqs, ketika menyampaikan ucapan sempena Himpunan Solidariti Bersama Gaza.
Haroqs berkata, dia sendiri tidak menyangka dapat berjuang bersama rakan-rakan untuk membebaskan bumi Palestin.
“Kepada Mama dan Papa, terima kasih kerana meredakan perjuangan adik. Kerana tidak pernah berkata tidak.
“Saya cuma nak beritahu, dalam apa benda yang kita buat, restu mak ayah itu adalah yang paling kita kena utamakan. Kerana doa mereka adalah doa yang menembusi dari langit,” katanya.
Menurutnya, setiap individu, khususnya generasi muda, perlu mengambil tahu dan memahami perjuangan rakyat Palestin yang dianggapnya sebagai isu kemanusiaan sejagat.
“Gunakanlah media sosial dan doa kita untuk terus berjuang. Dengan apa cara sekalipun, kita mesti mengambil tahu kerana Palestin adalah negara yang sangat suci,” katanya.
Katanya, pandangannya terhadap kehidupan berubah sebaik sahaja melihat sendiri penderitaan dan kekuatan rakyat Gaza.
“Ketika melihat bumi Gaza dari pesawat, saya terfikir, kalau saya punya impian dan cita-cita, mereka juga punya impian yang sama. Apa salahnya kalau kita berkorban sedikit untuk membantu mereka merealisasikan impian itu,” katanya.
Penyertaan Haroqs mendapat perhatian kerana menjadi salah seorang peserta termuda mengikuti misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) .
Bagaimanapun, Misi Haroqs yang menaiki Kapal Free Willy terbantut selepas dia bersama 22 sukarelawan GSF Malaysia yang lain diculik tentera Israel ketika di perairan antarabangsa sebelum dimasukkan ke penjara.
Sebelum itu, Haroqs sempat berkongsi di Threads yang kapal dinaikinya dihampiri tentera Israel.
Mereka sudah dibebaskan dan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF akan tiba di tanah air malam ini dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 9.45 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd