Retak siku, Azlan berehat dua bulan

Retak siku, Azlan berehat dua bulan


Reaksi Azlan selepas menjalani pemeriksaan di ISN. Foto FB PSM.

PEREJAM negara, Mohamad Azlan Alias terpaksa melupakan gelanggang sepak takraw selama dua bulan apabila disahkan mengalami keretakan tulang siku kiri.

Perkembangan tersebut dikongsi Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang memaklumkan bahawa pemain apit kanan itu menjalani pemeriksaan di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil pada pagi Selasa.

Hasil imbasan X-ray oleh pegawai perubatan ISN mendapati kecederaan tersebut berpunca daripada hentakan kuat ketika terjatuh.

Azlan mengalami kecederaan itu ketika aksi final acara regu berpasukan menentang Thailand pada Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa, Ahad lalu.

“Mohamad Azlan Alias mengalami keretakan tulang setelah membuat pemeriksaan pada pagi ini (Selasa).

“Beliau dinasihatkan dan dijangka berehat selama dua bulan oleh doktor. Semoga beliau cepat sembuh,” catat PSM menerusi Facebook pada Selasa.

Ketika menjalani pemeriksaan tersebut, Azlan turut ditemani ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun.

Azlan (kanan) ditemani Ahmad Jais (kiri) ketika menjalani pemeriksaan di ISN, Bukit Jalil pada Selasa. Foto FB PSM.

Azlan (kanan) ditemani Ahmad Jais (kiri) ketika menjalani pemeriksaan di ISN, Bukit Jalil pada Selasa. Foto FB PSM.

Pada set pertama, Azlan mengalami kecederaan tangan kiri akibat kesilapan sewaktu melakukan pendaratan ketika kedudukan 6–9, sekali gus menjejaskan rentak permainan regu pertama negara.

Membanggakan dalam aksi dramatik itu, Azlan tetap meneruskan perlawanan sehingga tiga set permainan walaupun menahan kesakitan demi negara.

Azlan yang beraksi dalam kesakitan bersama regu yang turut dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Amirul Zazwan Azmi (apit kiri) tewas 11–15 pada set pertama, sebelum bangkit 15–12 namun kecundang 15–17 dalam pertarungan penuh debar.

Kecederaan tersebut mencetuskan tanda tanya mengenai penyertaan Azlan dalam saingan Piala Raja Thai dari 20 hingga 30 Julai ini.

Difahamkan, Azlan akan menjalani fisioterapi dan rawatan intensif dalam tempoh dua bulan ini, namun kemampuannya untuk pulih sepenuhnya masih bergantung kepada laporan perubatan.

Lebih membimbangkan, pasukan kebangsaan turut kehilangan seorang lagi perejam muda, Khairul Aman Rosdi yang mengalami kecederaan dalaman dan kini dalam proses pemulihan.



Source link

OR

Scroll to Top