REV Media Group Sdn Bhd (REV Media Group atau REV), penerbit digital terkemuka Malaysia, mengumumkan syarikat tersebut kini telah menamatkan proses pemerolehan sepenuhnya terhadap The Vocket Sdn Bhd (Vocket) yang merupakan salah satu platform gaya hidup dan budaya yang berpengaruh di negara ini.
Sebelum ini, REV Media Group memiliki 52 peratus pegangan dalam Vocket. Melalui pengambilalihan terbaharu ini, baki 48 peratus saham telah diperoleh, menjadikan Vocket kini berada sepenuhnya di bawah rangkaian jenama REV.
Langkah strategik ini dijangka mengukuhkan lagi kekuatan REV Media Group dalam pasaran digital berbahasa Melayu. Sejak 2024 sehingga kini, Vocket menunjukkan pertumbuhan ketara dengan 1.4 juta pembaca unik, 68.5 juta paparan halaman bulanan serta lebih 758,000 pengikut di media sosial.
Pencapaian ini meletakkan Vocket sebagai destinasi pilihan untuk peminat bola sepak, pengumpul hobi dan golongan muda Malaysia yang berminat dengan perjalanan, kewangan serta gaya hidup. Majoriti audiens terdiri daripada lelaki (57 peratus), dengan tumpuan kukuh dalam kalangan milenial berusia 25–34 (41 peratus) serta 35–44 (34 peratus), menggambarkan kelompok pengguna digital Malaysia yang matang dan aktif.
Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group, Samuel Wee berkata pengambilalihan sepenuhnya ini mencerminkan dedikasi syarikat untuk terus membina skala, menggerakkan inovasi dan mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dalam media digital tempatan.
“Vocket sudah menunjukkan keupayaan dan pengaruh yang besar dalam kalangan milenial serta Gen Z. Dengan pemilikan penuh, kami kini dapat memacu pertumbuhannya dengan lebih agresif dan bersama-sama membentuk standard baharu dalam penerbitan serta kandungan digital, seterusnya memperluas penguasaan pasaran kami di seluruh negara,” katanya.
Pengasas The Vocket, Mohd Fazreen Jasni, turut menyifatkan perkembangan ini sebagai satu detik penting buat jenama tersebut.
“Vocket bermula 11 tahun lalu daripada minat untuk berkongsi kandungan dan langkah ini membuka fasa baharu yang lebih segar. Sebagai ‘Viral di Dalam Poket Anda,’ tujuan kami ialah memberikan idea kreatif yang dekat dengan pelbagai lapisan masyarakat.
“Saya yakin kami berada pada landasan yang lebih kukuh untuk berkembang. Ini bukan hanya sambungan perjalanan Vocket, tetapi permulaan dialog yang lebih lantang dengan rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam masa yang sama, Fazreen memaklumkan akan memberi ruang kepada diri sendiri untuk menumpukan perhatian terhadap perkembangan peribadi dan aktiviti sukan.
Integrasi menyeluruh Vocket ke dalam ekosistem REV Media Group dijangka menawarkan peluang pengiklanan merentas platform yang lebih meluas, keupayaan penargetan audiens yang lebih tepat serta model monetisasi baharu yang lebih kreatif.
Penyelarasan strategik ini menguatkan lagi posisi REV Media Group sebagai rakan paling ideal untuk jenama yang mencari skala luar biasa, relevansi budaya yang autentik dan pendekatan pemasaran yang progresif dalam pasaran Malaysia.






