Revolusi 2.0 Harimau Malaya

Revolusi 2.0 Harimau Malaya


LEGENDA bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menggesa skuad Harimau Malaya melakukan anjakan besar dalam corak permainan susulan hukuman berat dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan.

Bekas pertahanan kebangsaan itu menyifatkan keputusan berkenaan sebagai tamparan hebat ketika Malaysia bakal membuka semula kempen Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos, bulan ini.

“Ini hari hitam bola sepak Malaysia. Kita terpaksa hadapi situasi getir dengan tujuh pemain digantung. FAM dan jurulatih perlu segera mencari formula baharu untuk membentuk pasukan solid menjelang aksi bertemu Laos,” katanya kepada Sukan Sinar.

Minggu lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengumumkan penggantungan setahun terhadap tujuh pemain terbabit serta denda RM1.8 juta ke atas FAM selepas didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

Kesemua mereka termasuk tiga tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini beraksi dalam pertemuan menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ) pada 10 Jun lalu, selain turut dikenakan denda individu sebanyak RM10,560 setiap seorang.

Jamal menegaskan jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski kini perlu memberi keutamaan kepada bakat tempatan bagi mengisi kekosongan skuad.

“Kita ada pemain sendiri dan perlu yakin. Lupakan tujuh pemain itu, bina sinergi baharu menggunakan tonggak liga tempatan. Masa memang suntuk, tapi kita tidak boleh rapuh,” katanya.

Beliau menambah, krisis ini harus dijadikan peluang untuk menonjolkan keupayaan pemain tempatan di pentas antarabangsa.

“Saya yakin pemain lokal kalau diberi ruang mampu menyerlah. Apa yang penting, kita mesti mara ke depan tanpa menoleh ke belakang. Gelombang ini harus kita hadapi bersama,” ujarnya.

Malaysia dijadual menentang Laos di Vientiane pada 9 Oktober, sebelum melayan pasukan sama di SNBJ lima hari kemudian.

Dalam masa sama, Jamal menyifatkan tindakan FIFA itu sebagai kejutan besar yang belum pernah berlaku dalam sejarah bola sepak tanah air, sekali gus menuntut pihak berkaitan tampil bertanggungjawab.

“Semua pihak tidak boleh lari daripada memikul tanggungjawab. Mereka yang mengurus hal ini perlu berdepan akibatnya. Jika gagal memastikan akauntabiliti, mereka wajar berundur,” tegasnya.

Menurut beliau, hukuman itu bukan sahaja menjejaskan skuad negara malah memberi kesan langsung terhadap karier tujuh pemain terlibat.

“Mereka kehilangan masa berharga dalam karier, sekali gus merosakkan prospek profesional dan kewangan masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, Jamal menggesa FAM melaksanakan reformasi segera agar insiden sama tidak berulang pada masa depan.

Ringkasan AI

  • Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menggesa skuad Harimau Malaya melakukan anjakan besar dalam corak permainan susulan hukuman FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain
  • Keputusan FIFA dilihat sebagai tamparan hebat dengan tujuh pemain digantung dan denda RM1.8 juta dikenakan ke atas FAM
  • Jamal menegaskan jurulatih harus memberi keutamaan kepada bakat tempatan untuk mengisi kekosongan skuad
  • Krisis ini dijadikan peluang menonjolkan keupayaan pemain tempatan di pentas antarabangsa
  • Tindakan FIFA disifatkan sebagai kejutan besar dalam sejarah bola sepak tanah air dan menunjukkan keperluan reformasi dalam FAM



Source link

OR

Scroll to Top