Revolusi fotografi buat Sherry hargai kamera

Revolusi fotografi buat Sherry hargai kamera


“Melalui lensa kamera, saya dapat lakar pelbagai memori.”

Demikian kata pelakon, Sherry Ibrahim yang kini seronok meneroka dan mempelajari hobi terbaharunya dalam bidang fotografi.

Sherry atau Sharizad Ibrahim berkata, minatnya yang mendalam terhadap bidang fotografi sejak zaman persekolahan juga membuatkan dirinya kini berjaya memiliki sebuah kamera idaman demi mengumpul pelbagai memori.

“Saya baru sahaja beli sebuah kamera, Fuji Film XE5. Walaupun tidaklah begitu mahir, tetapi cukup untuk saya gunakannya dan belajar ambil gambar-gambar yang menarik.

“Dari zaman sekolah lagi saya suka ambil gambar ekspresi wajah orang sekeliling, bangunan, makanan dan banyak lagi. Saya juga sukakan kamera yang boleh mengambil gambar yang unik dan boleh menghasilkan efek ‘aesthetics’ seperti Kodak.

“Jadi, sekarang ini saya sedang belajar cara penggunaannya lebih-lebih lagi teknik untuk seimbangkan cahaya dan warna gambar itu sendiri,” katanya kepada Pancaindera.

Lebih menarik lagi, Sherry mendedahkan dia juga mempunyai beberapa koleksi kamera yang masih disimpannya sejak zaman sekolah seperti lomo camera serta polaroid jenis manual dan digital.

Tambah pelakon yang berusia 42 tahun ini, dia sedar penggunaan kamera itu sendiri sudah melalui pelbagai revolusi yang seiring dengan perubahan teknologi semasa.

Namun, dia tetap memilih untuk menghargai kualiti sesebuah foto yang diambil menerusi lensa kamera yang dimilikinya.

“Jika dulu kita ada kamera jenis filem, polaroid dan DSLR. Kini, tumpuannya pada penggunaan kamera di telefon bimbit pula. Sesetengah orang mungkin kurang gemar terhadap kamera kerana berat untuk dibawa ke mana sahaja.

“Tetapi pada saya, saya masih lagi menyukai kualiti foto yang dihasilkan melalui lensa kamera kerana ia memberi gambaran yang tepat seperti apa yang kita lihat melalui mata.

“Bukan itu sahaja, gambar yang diambil melalui kamera itu juga mempunyai cerita yang tersendiri selain tidak perlu menggunakan sebarang ‘filter’,” jelasnya.

Meskipun baru sahaja menceburi hobi tersebut, Sherry tidak menganggap perkara itu sebagai satu cabaran buat dirinya untuk mendalami ilmu kemahiran menggunakan kamera.

“Dunia kini semakin moden, segalanya boleh dipelajari di hujung jari. Saya banyak belajar cara untuk menggunakan kamera sendiri di TikTok. Hobi saya ini juga memerlukan latihan yang banyak juga.

“Apa sahaja hasil gambar tersebut, ia tetap cantik dan unik bagi saya kerana kita tidak boleh tipu mahupun menyuntingnya,” katanya lagi.

Sedar hobinya bukanlah memerlukan modal yang murah, Sherry menganggap memiliki kemahiran yang mendalam dalam dunia fotografi adalah lebih penting berbanding mempunyai sebuah kamera yang mahal.

“Banyak sahaja kedai kamera yang menjual pelbagai jenis kamera mengikut harga yang mampu milik. Pada saya, apa yang penting adalah kemahiran untuk mengambil sesebuah gambar.

“Tidak perlu membazir wang ringgit sehingga puluhan ribu untuk membeli sebuah kamera yang berjenama jika tidak mahir untuk mengambil gambar dengan baik.

“Jika tidak mampu membeli sebuah kamera, kita masih boleh tangkap gambar menggunakan telefon bimbit memandang zaman sekarang sudah semakin canggih.

“Lebih baik jika hobi itu dapat memberikan manfaat kepada kita dan jangan lakukannya kerana mahu mengikut ‘trend’ semasa,” ujarnya.





Source link

OR

Scroll to Top