mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Bekas wartawan portal berita Free Malaysia Today (FMT) Rex Tan, ditahan polis tengah malam tadi selepas dia mengemukakan satu soalan yang didakwa mengandungi unsur perkauman.
Soalan itu ditanya dalam satu ceramah awam di Kuala Lumpur yang menampilkan ahli politik United Kingdom, George Galloway, bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors”.
Peguamnya, Rajsurian Pillai mengesahkan penahanannyan sebaik wartawan terbabit dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Menurutnya, dia disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan.
“Rex ditahan polis jam 12.45 tengah malam tadi dan reman dijangka dipohon pagi ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan Rex sudah meletakkan jawatannya sebagai wartawan di portal terbabit sebelum penahanan dibuat.
Terdahulu Rex memohon maaf secara terbuka berhubung soalan yang diajukan semasa ceramah awam bertajuk ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ pada 12 Januari lepas.
Dalam kenyataan, Tan menyatakan rasa kesal mendalam terhadap soalan yang dirangka dengan tidak baik itu, mengakui bahawa soalan berkenaan kurang relevan dengan acara dan tidak mengambil kira sensitiviti topik tersebut.
Beliau khususnya memohon maaf kerana menyebut kaum Cina dan Melayu dalam soalan itu, dengan menegaskan bahawa rujukan terbabit tidak perlu dan sepatutnya dielakkan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar ketika dihubungi memaklumkan satu kenyataan media akan dikeluarkan nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd





