PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky tidak menolak kemungkinan menurunkan gandingan ‘scratch pair’ atau kombinasi ‘bidan terjun’ pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2025 (BAMTC) di China minggu depan.
Menurut Rexy, strategi memecahkan gandingan asal adalah sesuatu yang biasa dalam kejohanan antarabangsa di mana setiap pasukan akan mempertimbangkan kombinasi terbaik berdasarkan keperluan taktikal mereka.
“Semua pasukan pasti akan membuat perkara yang sama, namun ia bergantung kepada keperluan perancangan taktikal pasukan masing-masing,” ujar Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan di ABM, Bukit Kiara pada Jumaat.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia perlu menilai dengan teliti kesesuaian pasangan, sama ada meletakkan gandingan asal atau membentuk pasangan sementara, terutama melihat kekuatan pasukan lawan seperti Indonesia.
“Untuk Malaysia, kita juga harus melihat kepada aspek tersebut (taktikal lawan), contohnya kita akan lihat siapa pemain pasukan Indonesia.
“Itu kita lihat nanti pada waktu perlawanan…kemungkinan itu pasti ada,” tambah Rexy.
BAMTC berlangsung di Qingdao dari 11 hingga 16 Februari, menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Hong Kong dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir.
Kazakhstan pada awalnya diundi dalam Kumpulan B, namun kemudiannya dimasukkan semula ke Kumpulan C bersama Thailand dan Jepun selepas Filipina menarik diri.
Mengulas ketiadaan Kazakhstan, Rexy mengakui perkara tersebut tidak memberikan sebarang kelebihan buat pasukan negara.
Beliau berkata, apa yang penting ketika ini adalah pasukan Malaysia perlu bersiap siaga dari segi mental dan fizikal selain mempamerkan aksi terbaik di atas gelanggang.
“Bagi saya empat atau tiga pasukan dalam satu kumpulan itu tidak penting kerana kita masih ada risiko untuk lepas peringkat kumpulan. Sebab kalau asyik fikir mengenainya ia akan memberi tekanan kepada pasukan.
“Berdasarkan pengalaman saya dalam acara berpasukan kita perlu fokus kepada diri sendiri dan bagaimana untuk motivasi pasukan terutama berdepan Hong Kong dan Indonesia,” katanya.
Empat pasukan yang mara ke separuh akhir secara merit layak ke Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China pada 27 April hingga 5 Mei depan.