Jakarta: Festival Filem Indonesia (FFI) 2025 menyaksikan momen penuh emosi apabila pelakon dan pengarah terkenal, Reza Rahadian tidak mampu menahan air mata selepas filem sulung arahannya, Pangku diumum Filem Cerita Panjang Terbaik.
Kemenangan pada acara anugerah berprestij edisi ke-45 itu menjadi lebih bermakna apabila Pangku dihasilkan berdasarkan kisah hidup ibu Reza, Pratiwi Widantini Matulessy.
Ketika berucap, Reza tidak mampu menahan sebak sehingga mengalirkan air mata sebaik membuka bicara mengenai ibunya.
“Ibu saya ada di rumah, menonton. Ibu saya beritahu, doa mama beserta,” katanya sebaik menerima trofi sulungnya sebagai pengarah pada acara yang berlangsung di Teater Jakarta, Taman Ismail Marzuki di sini, Khamis lalu.
Reza berkata, Pangku adalah dedikasinya buat wanita yang tabah dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup.
“Buat saya, filem ini adalah wujud terima kasih saya kepada perempuan hebat di luar sana yang terus berjuang di tengah keterbatasan yang ada,” katanya yang kemudian disusuli tepukan gemuruh penonton.
Dalam ucapannya, Reza turut menyentuh isu pendidikan, iaitu salah satu mesej utama yang diketengahkan dalam filem Pangku.
“Buat bayu-bayu kecil di luar sana, serta kepada para pembuat dasar, semoga kalian bukan lagi menjadi penghalang untuk mereka (wanita) terus bersekolah dan menerima hak mendapatkan pendidikan,” ujarnya.
Selain Filem Cerita Panjang Terbaik, Pangku berjaya merangkul tiga lagi trofi utama yang disebut juga sebagai Piala Citra merangkumi Pelakon Pembantu Perempuan Terbaik menerusi lakonan Christine Hakim; Penulis Skenario Asli Terbaik (Reza Rahadian dan Felix K. Nesi) dan Pengarah Artistik Terbaik (Eros Eflin).
Pangku diterbitkan syarikat produksi milik Reza, Gambar Gerak yang dibintangi barisan pelakon hebat seperti Claresta Taufan, Christine, Fedi Nuril, Devano Danendra dan Shakeel Fauzi.
Filem itu mengisahkan Sartika (lakonan Claresta) iaitu wanita muda hamil yang melarikan diri dari kampung halaman demi masa depan anaknya. Dalam perjalanan, dia bertemu Bu Maya (Christine ), pemilik kedai kopi yang terkenal kerana suka membantu.
Bu Maya membantu Sartika hingga melahirkan anak. Namun, di sebalik kebaikan itu, tersembunyi niat lain apabila Sartika secara halus ‘terperangkap’ untuk bekerja di kedai kopi Pangku, sekali gus membuka sisi gelap realiti kehidupan sebenar.
© New Straits Times Press (M) Bhd





