Rezeki lumayan tangan bertuah

Rezeki lumayan tangan bertuah


Jertih: Hobi memancing seorang murid tahun enam dari Kampung Dengir dekat sini membawa tuah apabila mengumpul hasil kemenangan dalam pertandingan memancing mencecah RM30,000 sejak awal tahun lalu.

Hadiah kemenangan terbesar diraih Muhammad Alif Irfan Ahmad Numan, 12, setakat ini ialah RM20,000 apabila muncul johan selepas menaikkan ikan keli seberat 5.4 kilogram (kg), Khamis lalu.

Kemenangan anak kedua daripada empat beradik dalam pertandingan memancing di kolam ikan berhampiran rumahnya itu sekali gus menyebabkan lebih 1,000 peserta lain pulang hampa.

“Dalam pertandingan itu, saya hanya gunakan joran berumpan isi ayam dibuat ibu saya. Ikan sambar mata kail tidak lama selepas saya memancing,” kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Puteri itu di rumahnya di sini semalam.

Kongsinya lagi, hadiah kedua terbesar diperoleh adalah RM5,000 apabila memenangi pertandingan di Setiu seminggu sebelum Aidiladha, baru-baru ini.

Muhammad Alif Irfan berkata, dia memancing ditemani bapa tiri, Mohd Farid Kadir, 32, dan ibu, Nor Khaizan Hasan, 36, yang turut berkongsi minat sama.

Sementara itu, Nor Khaizan berkata, dia bersyukur kerana hobi anaknya sejak berusia lapan tahun itu mampu menghasilkan pendapatan sampingan selain mengisi tabungnya.

“Hasil kemenangan RM20,000 diperoleh minggu lalu, saya beli motosikal untuk kegunaan masa akan datang selain menghadiahkan sejumlah wang kepada ahli keluarga terdekat. Selebihnya saya simpan di bank untuk tabungan Muhammad Alif Irfan.

“Hobi ini tidak ganggu persekolahan kerana pertandingan selalu berlangsung pada malam minggu,” kata suri rumah itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top