KAJANG – Jalan Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas) akan ditutup sepenuhnya pada 12 hingga 13 Oktober ini bagi memberi laluan kepada perlumbaan basikal RHB Lekas Highway Ride 2024 yang akan diadakan pada jam 7.45 petang Sabtu ini.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, penutupan jalan itu akan dilaksanakan bermula jam 5 petang Sabtu sehingga jam 4 pagi Ahad ini.
“Berikutan dengan penutupan Lebuhraya Lekas, sebanyak enam jalan utama terlibat dengan penutupan dan juga lencongan trafik iaitu, Kilometer 2 Lebuhraya Lekas menghala ke Seremban; Lebuhraya Lekas susur keluar ke arah bandar Teknologi; Lebuhraya Lekas susur masuk dari arah Semenyih.
“Tiga lagi laluan utama yang turut terlibat penutupan dan lencongan adalah membabitkan Lebuhraya Lekas susur keluar ke arah Ecohill; Jalan Bangi Lama susur masuk ke Lebuhraya Lekas dan akhirnya Jalan Eco Majestic menghala ke Lebuhraya Lekas (Plaza Tol Eco Majestic),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Naazron menasihatkan pengguna jalan raya agar mengelak daripada melalui jalan-jalan yang terlibat dengan penutupan dan lencongan.
Beliau juga meminta orang awam agar merancang perjalanan mereka supaya tidak terlibat dalam kesesakan lalulintas dan mematuhi arahan pegawai dan anggota polis yang bertugas di lapangan sepanjang tempoh penutupan itu. – MalaysiaGazette