Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Prestasi konsisten yang dipamerkan penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises mendorong Milo menyambut kehadiran bintang terjun negara itu ke dalam barisan atletnya.
Ketua Pemasaran Sukan Milo Nestle (Malaysia) Berhad, Lim Kerwin, berkata kerjasama yang terjalin itu tercetus dari pencapaian luar biasa Rhodict di dalam kolam renang dan komitmennya terhadap pendidikan di peringkat tertinggi, menjadi contoh kepada belia Malaysia untuk cemerlang dalam sukan dan kehidupan.
“Perjalanan luar biasa Rhodict, yang seimbang antara pencapaian akademik dan kecemerlangan sukan, menggambarkan objektif yang ingin dibentuk oleh Milo bersama atlet generasi muda.
“Kisahnya bukan sahaja memberi inspirasi tetapi juga mengesahkan komitmen berterusan kami untuk memupuk individu yang seimbang. Kami teruja untuk menyokong Rhodict dalam memberi impak baik di kolam renang mahupun dalam bidang akademi,” katanya.
Rhodict mula menyertai sukan renang pada usia empat tahun sebelum beralih arah ke terjun.
Pada usia 10 tahun, dia mempertimbangkan untuk berhenti atas beberapa sebab tetapi dorongan yang berterusan daripada bapanya membuatkan dia terus berusaha sehingga memperoleh keputusan yang membawanya kepada kejayaan pada masa ini.
Sementara itu Rhodict berbesar hati dapat bersama menyertai keluarga Milo.
“Sokongan mereka sangat penting untuk karier terjun dan pelajaran saya. Saya teruja untuk berkembang sebagai atlet dan individu dengan menguji batasan saya dalam pertandingan dan meneroka laluan kehidupan di masa depan.
“Milo sentiasa membantu saya mengekalkan tenaga dan fokus semasa di sekolah setiap hari yang panjang dan juga ketika sesi berlatih. Saya berharap perjalanan ini menjadi inspirasi kepada atlet muda untuk mengejar impian dalam sukan dan pendidikan,” katanya.
Antara pencapaian Bertrand termasuk meraih gangsa dalam acara 10m terjun seirama di Sukan Asia 2022 Hangzhou dan perak dalam 10m platform individu di Sukan Sea 2023 Kemboja.
Pencapaian terbesarnya adalah mara ke final 10m individu di Kejohanan Dunia 2023 di Jepun, sekali gus memperoleh tempat secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Ini menjadikan Rhodict sebagai atlet Malaysia pertama yang layak berdasarkan merit pada temasya berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd