am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Ribuan biji telur itik bernilai hampir RM5,000 antara yang musnah musnah dalam kebakaran di Kampung Teluk Ketapang, di sini, hari ini.
Turut musnah, sebuah rumah, kereta Citroen yang terbakar 50 peratus dan dua motosikal jenis Honda Wave serta Honda C70 musnah 100 peratus.
Kebakaran dikatakan berlaku ketika mangsa, Zunailah Harun, 53, sedang tidur dalam bilik sebelum menyedari kejadian kira-kira jam 6.15 petang.
Suami mangsa, Solihin Mohd, 57, berkata, ketika kejadian dia berada di luar rumah kerana urusan kerja sebelum mendapat maklumat daripada rakannya.
“Saya bergegas pulang dan apabila sampai didapati api sedang marak.
“Menurut isteri ketika kejadian dia sedang tidur sebelum terkejut mendengar bunyi beberapa letupan kecil dari bahagian dapur.
“Ketika kejadian hanya isteri seorang sahaja berada di rumah manakala dua anak lelaki masing-masing berusia 28 dan 32 tahun berada di luar kerana bekerja,” katanya yang menjalankan perniagaan telur itik sepenuh masa sejak 10 tahun lalu.
Solihin berkata, kebakaran dikatakan bermula daripada dapur dan mendakwa isteri terlelap ketika sedang memasak.
Kebakaran itu menyebabkan dia mengalami kerugian ratusan ribu ringgit apabila kesemuanya musnah menyebabkan pasangan suami isteri terbabit tinggal sehelai sepinggang.
Sementara itu, Komander Operasi Mohd Shahril Abd Halim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.31 petang dan seramai 15 anggota beserta dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan
© New Straits Times Press (M) Bhd