PERTAHANAN warisan Harimau Malaya, Richard Chin, berharap diberi peluang untuk menunjukkan kemampuannya dalam perlawanan persahabatan menentang Palestin pada Isnin ini.
Menurutnya, dia sudah bersedia membuktikan kebolehannya selepas dipanggil buat kali pertama menyertai skuad kebangsaan.
“Saya harap akan diberikan peluang dan jika tidak, saya tetap bersedia untuk beraksi.
“Jika diberi peluang pada perlawanan seterusnya, saya akan cuba bermain secara positif, berlari lebih banyak, bermain terus serta berusaha sedaya upaya membantu pasukan,” katanya.
Berkongsi pengalamannya bersama Harimau Malaya, pemain kacukan itu mengakui cukup teruja kerana dapat berlatih dan bermain dengan ramai rakan sepasukan yang memiliki kualiti serta pengalaman tinggi.
Pemain yang kini beraksi bersama kelab Scotland, Raith Rovers turut menyifatkan hubungan baik sesama pemain menjadi faktor penting dalam membina kekuatan skuad negara.
“Ramai pemain bagus dalam pasukan ini, terutama di bahagian pertahanan. Ia sesuatu yang positif kerana saya dapat mengenali mereka dengan lebih dekat.
“Hubungan dalam pasukan juga sangat baik, ramai pemain mempunyai keserasian yang bagus antara satu sama lain. Jadi saya berharap dapat peluang untuk memberi impak pada perlawanan akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi pemain pertahanan negara, Stuart Wilkin mengakui Palestin akan menjadi lawan sukar dan skuad negara perlu berada pada tahap terbaik jika mahu meraih keputusan positif.
Wilkin yang diberikan peranan baharu oleh pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski, di posisi pertahanan kanan ketika bertemu Singapura dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis lalu, bertekad memperagakan aksi lebih baik sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi pada Isnin ini.
“Posisi ini berbeza untuk saya, tetapi jurulatih mempercayai saya untuk bermain di posisi itu. Saya gembira dapat menyumbang kepada pasukan, dan setiap kali bermain saya akan beri yang terbaik,” katanya yang turut meledak satu gol dan satu bantuan gol dalam perlawanan menentang Singapura.