norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Riena Diana, 28, tiada masalah kekasihnya yang juga pelakon, Keith Foo, 41, meletakkan anak perempuan tunggalnya, Skylar Raymond Foo, 8, sebagai nombor satu di hati lelaki itu.
Riena berkata, sebagai bapa memang penting untuk Keith mengutamakan anaknya kerana itu tanggungjawab dan kasih sayang terhadap zuriatnya sendiri.
“Keith memang sayangkan anaknya. Masa saya kenal dia, Skylar nombor satu. Dia dah cakap awal-awal dengan saya.
“Saya juga ada dengar daripada kawan-kawan yang pernah ‘shooting’ (menjalani penggambaran) dengan Keith. Bila saya beritahu yang saya kenal dengan Keith, mereka cakap anak dia nombor satu tau. Awak jatuh nombor dua.
“Kawan-kawan saya dah beritahu awal-awal sebab mereka dah pernah ‘shooting’ dengan Keith sebelum ini. Jadi, kawan-kawan cakap macam itulah,” katanya kepada Harian Metro.
Riena yang popular dengan watak Lailer dalam siri Kampung People berkata, dia okay menerima hubungan Keith dengan anaknya kerana mereka memiliki ikatan darah yang sah.
“Tidak apalah. Itu anak dia. Kalau dia letak anak dia bawah sekali, saya pun takut juga. Jadi, memang sepatutnya dia kena buat macam itu.
“Apapun, saya seronok ada ‘bonding’ (ikatan) yang baik dan rapat juga dengan Skylar kerana mungkin kami sama-sama perempuan. Saya suka layan dia buat aktiviti bersama.
“Kalau dia nak datang ke rumah, mesti minta saya masak makanan spaghetti, pizza dan paling dia suka makan adalah steak. Tapi, ‘aunty’ Riena yang kena masaklah,” katanya.
Menurut Riena, Skylar seorang yang tidak suka menikmati makanan dibeli dari luar melainkan gemar hidangan yang dimasak sendiri olehnya dan ia dituruti saja.
Terdahulu, Keith pernah berkahwin dengan model, Kim Raymond pada November 2015, namun mereka bercerai pada Disember 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata.
Mengenai drama terbaharu lakonannya, Riena berkata, dia akan muncul membawakan watak antagonis sebagai Karmila yang berhadapan masalah mental dan psiko.
Katanya, walaupun bukan kali pertama melakonkan watak jahat tetapi Karmila itu sangat mencabar kerana ada babak dia perlu memukul suaminya lakonan Aqasha.
© New Straits Times Press (M) Bhd