Rifdean, Aliff gegar Thailand

Rifdean, Aliff gegar Thailand


Penyertaan Aliff (kanan) di Sukan SEA hujung tahun ini bergantung kepada pelepasan daripada ONE Championship.

Skuad Muay Thai negara akan menghantar barisan terkuat termasuk dua bintang ONE Championship, Rifdean Masdor dan Aliff Rakib dalam kategori A untuk menggegar Sukan SEA Thailand 2025 yang dijadualkan berlangsung akhir tahun ini.

Mereka mengetuai senarai lapan atlet elit yang terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita bagi menggalas cabaran negara di temasya dwitahunan itu dengan sasaran realistik meraih satu pingat emas.

Presiden Persatuan Muaythai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata, pemilihan atlet dibuat berdasarkan pencapaian mereka dalam Kejuaraan Dunia IFMA serta prestasi cemerlang di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, penyertaan Aliff masih dalam peringkat perbincangan.

Tambahnya, usaha sedang giat dijalankan untuk mendapatkan pelepasan daripada pihak pengurusan ONE Championship memandangkan Aliff terikat dengan kontrak profesional yang mungkin bertindih dengan jadual Sukan SEA.

“Dia (Aliff) memang mahu beraksi dalam Sukan SEA, tetapi ia bergantung kepada keputusan pengurusan ONE Championship kerana dia masih terikat dengan kontrak.

“Kami telah menghantar e-mel dan saya sendiri telah berbincang secara peribadi dengan mereka. Harapan kami amat tinggi agar dia dilepaskan untuk berbakti kepada negara,” katanya.

Sekiranya Aliff tidak mendapat pelepasan, Shahnaz memaklumkan bahawa Rifdean akan menjadi sandaran utama, disokong oleh juara remaja Asia, Wassof Hu, yang turut dilihat berpotensi untuk mencipta kejutan.

Selain itu, adik kepada petarung sensasi Muhammad Johan Ghazali Zulfikar (Jojo), iaitu Muhammad Mikail Ghazali (Miki), dan bintang Byon Combat, Ammarul Shafiq, turut disenaraikan dalam barisan kategori B yang akan beraksi di Thailand.

Langkah ini juga merupakan sebahagian daripada usaha mempersiapkan pasukan Muay Thai negara bagi menghadapi Sukan SEA Malaysia 2027.

“Sasaran utama kami adalah memastikan mereka menjalani persiapan rapi menjelang Sukan SEA 2027.

“Penyertaan di Sukan SEA Thailand ini akan menjadi pengalaman terbaik bagi mereka dalam temasya besar, sekali gus membantu mencapai sasaran utama di Kuala Lumpur nanti,” ujar Shahnaz.

 

 



Source link

OR

Scroll to Top