Rifdean buru gelaran dunia di bumi Jepun

Rifdean buru gelaran dunia di bumi Jepun


 

PETARUNG Muay Thai negara, Rifdean Masdor hanya selangkah lagi untuk mencipta sejarah apabila diberi peluang merebut Kejuaraan Dunia ONE Atomweight Muay Thai menentang juara bertahan dari Jepun, Nadaka Yoshinari pada acara ONE SAMURAI 4 di Ariake Arena, Tokyo, 17 Oktober depan.

Kemenangan ke atas jaguh tuan rumah itu bukan sahaja bakal menghadiahkan Rifdean gelaran dunia pertamanya, malah menyaksikan atlet berusia 23 tahun yang dikenali sebagai ‘Magic Boy’ muncul rakyat Malaysia kedua bergelar juara dunia ONE selepas Ahmad Nor Iman Aliff Rakib merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight, bulan lalu.

Bagaimanapun, laluan ke puncak dunia bukan mudah apabila Rifdean perlu menamatkan dominasi Nadaka yang akan mempertahankan kejuaraan buat kali kedua dengan membawa rekod mengagumkan 41 kemenangan berturut-turut.

Petarung kidal berusia 25 tahun itu dianggap antara pengamal Muay Thai paling teknikal ketika ini menerusi kepantasan, ketepatan serangan dan disiplin bertahan yang sukar digugat.

Nadaka memegang status juara sulung divisyen atomweight selepas menewaskan Numsurin Chor Ketwina menerusi keputusan sebulat suara pada ONE 173, November lalu, sebelum sekali lagi mempertahankan tali pinggang itu dengan menundukkan Songchainoi Kiatsongrit pada ONE SAMURAI 1, April lalu.

Di sebalik reputasi hebat lawannya, Rifdean tidak hadir sekadar melengkapkan jadual pertarungan.

Wakil negara itu membawa rekod tujuh kemenangan daripada lapan penampilan di pentas ONE Championship, termasuk lima kemenangan berturut-turut dengan kadar penyudah mencecah 71 peratus, sekali gus meletakkannya dalam kelompok pencabar paling berbahaya divisyen berkenaan.

Prestasi cemerlang itu memuncak pada Jun lalu apabila Rifdean hanya memerlukan satu pusingan untuk menewaskan Javad Mozafari, sekali gus melayakkan dirinya menerima kontrak bernilai AS$100,000 (kira-kira RM425,000) bagi menyertai senarai utama ONE Championship.

Selepas kemenangan tersebut, Rifdean tanpa berselindung menyuarakan hasrat untuk berdepan Nadaka, dengan keyakinan bahawa dirinya sudah bersedia menguji kemampuan sebenar menentang juara dunia itu.

Selain pertarungan membabitkan Rifdean dan Nadaka, ONE SAMURAI 4 turut menyajikan aksi juara menentang juara antara pemegang gelaran flyweight kickboxing, Superlek Kiatmoo9 dan raja strawweight, Jonathan Di Bella.

Juara dunia ONE Bantamweight Kickboxing, Jonathan Haggerty pula dijadual mempertahankan gelaran berdepan bekas juara, Hiroki Akimoto, manakala legenda Jepun, Takeru Segawa akan diangkat ke Hall of Fame ONE Championship pada malam yang sama.

 

 



Source link

OR

Scroll to Top