Rifdean hampiri kontrak ONE Championship

Rifdean hampiri kontrak ONE Championship

Rifdean hampiri kontrak ONE Championship


BANGKOK:  Petarung Muay Thai negara, Rifdean Masdor mengesahkan statusnya sebagai prospek elit Malaysia selepas menumpaskan wakil Indonesia, Mohamad Redho ‘Rocky’, menerusi knockout (KO) pusingan pertama pada aksi atomweight ONE Friday Fights 138 di Stadium Tinju Lumpinee, sebentar tadi.

Kemenangan bergaya itu menyaksikan Rifdean mencatat lima kemenangan daripada enam pertarungan di pentas ONE Championship, sekali gus semakin menghampiri kontrak rasmi bersama organisasi seni mempertahankan diri terkemuka dunia itu.

Mewakili pasukan Sor Sommai, atlet kelahiran Sarawak itu membuka laluan kemenangan dengan ‘spinning elbow’ padu ke kepala Redho Rocky sebelum meneruskan tekanan tanpa henti melalui lutut dan tendangan bertalu-talu, memaksa pengadil menghentikan perlawanan.

Sebagai ganjaran, Rifdean turut membawa pulang bonus 350,000 baht (RM45,500).

Setakat ini, dua lagi petarung negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar (Jojo) dan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, sudah lebih awal mengesahkan kontrak rasmi ONE Championship.

Digelar ‘Magic Boy’, Rifdean memiliki rekod antarabangsa cemerlang termasuk tiga gelaran juara dunia bawah 23 tahun berturut-turut (2021–2023), juara dunia remaja 2019 serta pingat emas Sukan SEA 2019.

Sebagai rekod, Rifdean memulakan kempen ONE Championship pada 22 Mac 2024 dengan penuh sensasi apabila hanya memerlukan 78 saat untuk menewaskan wakil Thailand, Pichai Lookbanmai, menerusi kemenangan TKO.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top