Rifdean (kanan) menepati ramalan mengalahkan Redho Rocky di ONE Friday Nights 138 pada Jumaat.
PETARUNG Muay Thai negara, Rifdean Masdor membuktikan statusnya sebagai antara prospek terbaik Malaysia apabila menumpaskan wakil Indonesia, Mohamad Redho ‘Rocky’ dalam aksi atomweight ONE Friday Fights 138 sebentar tadi di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok.
Dengan kemenangan ini, Rifdean kini mencatat lima kemenangan daripada enam aksi di pentas ONE Championship, sekali gus menambah rekod cemerlangnya dan semakin menghampiri peluang meraih kontrak rasmi bersama organisasi seni mempertahankan diri terkemuka itu.
Rifdean yang mewakili pasukan Sor Sommai mengesahkan kemenangan tersebut menerusi knockout (KO) pada pusingan pertama.
Sebelum itu, Rifdean terlebih dahulu melakukan ‘spinning elbow’ yang tepat ke kepala Redho Rocky, menyebabkan jaguh Indonesia itu mengalami pening.
Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Rifdean untuk melakukan penyudah menerusi serangan lutut dan tendangan bertalu-talu sehingga memaksa pengadil menamatkan pertarungan.
Kemenangan tersebut turut menyaksikan Rifdean membawa pulang bonus 350,000 baht (RM45,500).

Rifdean Masdor
Setakat ini, dua petarung negara iaitu Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo, serta Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, sudah lebih awal meraih kontrak rasmi ONE Championship.
Atlet kelahiran Sarawak yang turut digelar ‘Magic Boy’ itu mempunyai latar belakang cemerlang di peringkat antarabangsa, termasuk tiga gelaran juara dunia bawah 23 tahun berturut-turut antara 2021 hingga 2023, selain juara dunia remaja 2019 dan pingat emas Sukan SEA 2019.
Sebagai rekod, Rifdean memulakan langkah dalam ONE Championship pada 22 Mac 2024 dengan penuh bergaya apabila hanya memerlukan 78 saat untuk menewaskan wakil Thailand, Pichai Lookbanmai, menerusi kemenangan TKO.
Ringkasan AI
- Petarung Muay Thai Malaysia, Rifdean Masdor menumpaskan wakil Indonesia dalam aksi atomweight ONE Friday Fights 138 di Bangkok
- Rifdean mencatat lima kemenangan daripada enam aksi di ONE Championship
- Kemenangan menerusi knockout pada pusingan pertama setelah melakukan spinning elbow dan serangan bertalu-talu
- Rifdean membawa pulang bonus 350,000 baht
- Rifdean mempunyai latar belakang yang cemerlang termasuk tiga gelaran juara dunia bawah 23 tahun berturut-turut antara 2021 hingga 2023






