RIM akan semak

RIM akan semak


syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) akan mendapatkan maklum balas daripada pembekal maklumat yang terbabit berhubung dakwaan penyanyi, Yuji, yang meluahkan rasa terkilan apabila lagu hitnya, Old Love bersama Putri Dahlia, gagal meraih trofi Lagu Paling Tinggi Distrim pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24, Sabtu lalu.

Presidennya, Rosmin Hashim berkata, untuk kategori teknikal seperti itu, data diperoleh daripada pihak ketiga.

“Contohnya, bagi kategori lagu dengan jumlah tontonan video tertinggi di TikTok, maklumat itu diperoleh terus dari TikTok. Begitu juga untuk kategori video muzik paling banyak ditonton di platform video utama, kita mendapat data daripada platform itu.

“Sama juga dengan lagu paling tinggi distrim, data itu diperoleh daripada pembekal maklumat yang memantau jumlah penstriman lagu. Jadi, kita sudah mengajukan pertanyaan kepada pembekal maklumat berkenaan.

“Carta RIM mingguan yang kita keluarkan adalah berdasarkan laporan penstriman yang dibekalkan oleh pelantar. Semua maklumat yang diumumkan merujuk kepada sumber itu,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Yuji meluahkan rasa terkilan di Threads di mana dia sukar memahami keputusan juri memilih lagu Masing Masing dendangan Ernie Zakri yang mencatat 12 juta strim di Spotify, sedangkan Old Love mencatat jumlah strim jauh lebih tinggi iaitu 360 juta.

Menurut Rosmin, setiap kategori juga menggariskan syarat tertentu sebelum keputusan dibuat.

“Pada masa yang sama, pihak RIM juga akan menyemak syarat kelayakan bagi lagu berkenaan. Setiap kategori ada syarat-syarat tertentu, misalnya dari segi tarikh lagu itu dipasarkan, adakah lagu ditulis oleh komposer tempatan, dan sama ada artis terbabit adalah ahli RIM atau tidak.

“Selepas RIM membuat semakan, barulah kenyataan rasmi akan dikeluarkan bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yuji,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top