Ringkas, comel

Ringkas, comel



norhayati_nordin@hmetro.com.my

KALAU sebelum ini dia dikenali sebagai Alvin Chong, kini nama pentas komersial itu disifatkan sudah tidak sesuai, sekali gus mahu dipanggil Alvn saja kerana ia lebih ringkas.

Pelakon, komposer dan penyanyi berusia 33 tahun ini berkata, panggilan Alvn juga sedap didengar dan bunyinya tidaklah begitu kasar berbanding apabila orang memanggil dengan nama sebenarnya itu.

“Nama Alvn yang sekarang dengan Alvin Chong yang dulu sama saja. Cuma, ketika ini dah tak ada Chong itu. Tapi, dululah bila ada orang sebut nama saya, Alvin Chong, saya akan rasa dia kasar.

“Sebab biasanya kalau kita sebut nama penuh, rasa macam nak memaki pada individu berkenaan, itulah yang saya rasa. Namun, kalau panggil Alvn saja, saya rasa macam sedap dan comel sikit,” katanya.

Terdahulu, Alvn ditemui hadir pada pelancaran album terbaharunya, Between The Lines: Revelaed dan ‘showcase’ solo istimewa, baru-baru ini.

Berbicara penerimaan peminatnya terhadap nama pentas komersial baharu itu, Alvn berkata, memang masih ada pun yang bertanya kepadanya, kenapa dah tak guna nama ‘Alvin Chong’ lagi?

“Apapun, saya tetap berasa benda ini (nama Alvin Chong) akan berlalu juga. Ia macam kalau orang dah biasa panggil saya, Alvn nanti, mereka (peminat) akan terus jadi biasalah.

“Benda macam ini, saya tahu memang akan ambil masa untuk dibiasakan, begitu juga pada kalangan wakil media yang masih menulis nama Alvin Chong itu dan saya tak boleh nak buat apa, sebab ia kena ambil masa,” katanya.

Ujar Alvn lagi, pertukaran nama pentas komersial baharu itu sudah digunakannya sejak lebih setahun lalu sebagai ‘penjenamaan semula’ untuk karier seni yang diceburi kira-kira 10 tahun lalu, bermula 2014.

Ditanya juga mengenai bidang nyanyian, Alvn berkata, dia suka menyanyi kerana lebih menenangkan jiwa terutama ketika menghasilkan lagu sendiri menerusi ilham yang datang.

“Saya sangat suka mendengar lagu dan pada masa sama juga berkongsi ilham dengan rakan-rakan untuk kita berbincang buat lagu itu bersama. Jadi, ia berlaku secara santai saja.

“Kita dengar melodi, buat juga lirik bersama dan kemudian rakam lagu itu. Ia mudah dan pada masa sama, kita tak perlu banyak fikir apakah lagu-lagu ini menjadi atau tidak? Apa yang kita buat itu hanya kerana minat.

“Memang santai dan sebab itu, saya akui banyak dapat idea atau ilham mencipta lagu ketika saya berada di luar negara. Sama ada saya ke sana (luar negara) untuk bercuti atau terbabit dengan urusan kerja,” katanya.

Aktif menyanyi dalam tiga bahasa, sehingga kini Alvn sudah mempunyai rangkaian lagu Bahasa Inggeris, Melayu dan Mandarin yang dihasilkannya sejak 2015 iaitu kira-kira sembilan tahun lalu selepas setahun terbabit dalam lakonan.

Antara judul lagu nyanyian Alvn seperti Sama Sama Kita, One & Only, Sepenuh Jiwa, Sayangku Salmah, Girl Went Gone, Tak Terganti, Tajam, We Got This, Aku Kamu, Don’t Ask Me Why dan banyak lagi.

Puas hati dapat buat ‘showcase’

Menyimpan impian yang sudah lama untuk menghiburkan peminat dan rakan-rakan rapat untuk sebuah ‘showcase’ istimewa, Alvn mengakui dia sangat lega dan gembira dapat menyanyi secara ‘live’.

Walaupun kali pertama dapat menjayakan ‘showcase’ itu, Alvn berkata, dia merancang sudah lama tetapi sering saja tertangguh kerana terikat dengan jadual kerja yang tidak disangka dan cukup padat.

“Jadi, untuk ‘showcase’ istimewa ini sebenarnya tidak begitu dirancang. Saya memaklumkan pada syarikat rakaman agar dapat mengadakan persembahan nyanyian ‘live’ ini sebab nak tengok kawan-kawan saya yang datang terhibur.

“Itu saja yang saya nak sebenarnya, untuk berkongsi rasa ‘happy’ (gembira) dan seronok dengan mereka (rakan-rakan) yang sanggup hadir menyaksikan persembahan ini. Apapun, saya dah puas hati.

“Bagi saya, percubaan pertama saya menjayakan ‘showcase’ sebegini berjaya walaupun ada sedikit masalah teknikal yang berlaku. Tapi, tak mengapalah sebab kita boleh perbaiki pada masa akan datang,” katanya.

Berterima kasih dengan sokongan diberikan rakan dan peminatnya, Alvn berkata, dia juga sebenarnya ingin tampil menyanyikan banyak lagu, namun mengambil kira lokasi ‘showcase’ itu yang kurang sesuai untuk persembahan terlalu lama.

Antara lagu dinyanyikan dalam ‘showcase’ itu seperti Need Me Now, Onemorenight, Holdin’ On, Sacrifice, Over Again, Birds Of A Feather (lagu cover), We Don’t Have To Talk About It dan Rescue Me.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top