Risiko jika biar diri terus kepenatan minda dan fizikal

Risiko jika biar diri terus kepenatan minda dan fizikal


surayaroslan@mediaprima.com.my

Ramai wanita hari ini menjalani hidup dengan penuh tanggungjawab apabila perlu bekerja, mengurus rumah, menjaga anak, menyantuni pasangan dan pada masa sama memikul emosi orang di sekeliling.

Penat itu nyata, namun sering dianggap perkara biasa yang perlu ditelan dengan senyuman.

Dalam diam, ramai wanita membawa beban keletihan emosi yang tidak kelihatan.

Bukan sekadar penat fizikal, tetapi keletihan minda untuk memikirkan keperluan keluarga, memastikan urusan harian berjalan lancar dan mendahulukan orang lain sebelum diri sendiri.

Keadaan ini sering berlaku tanpa disedari. Seorang wanita boleh kelihatan tenang, cekal dan berfungsi seperti biasa, sedangkan di dalam hatinya penuh dengan keletihan yang tidak terluah.

Apabila cuba bersuara, ada yang memilih untuk diam kerana bimbang dilabel terlalu sensitif, tidak bersyukur atau lemah.

Hakikatnya, ramai wanita dibesarkan dengan kepercayaan bahawa mereka perlu sentiasa kuat.

Mengadu dianggap kegagalan, berehat pula dilihat sebagai mementingkan diri.

Lama-kelamaan, wanita belajar menahan rasa, memendam emosi dan meneruskan kehidupan walaupun jiwa semakin kosong.

Keletihan emosi yang berpanjangan boleh memberi kesan besar.

Wanita mungkin menjadi mudah tersinggung, cepat menangis, hilang motivasi atau rasa tidak lagi mengenali diri sendiri.

Namun, tanda-tanda ini sering disalah tafsir sebagai masalah sikap, bukannya isyarat bahawa seseorang itu terlalu lama keletihan.

Dalam peranan sebagai isteri, ibu, anak atau pekerja, wanita sering lupa bahawa mereka juga manusia yang memerlukan sokongan.

Mereka bukan mesin yang sentiasa kuat, dan bukan pula sumber emosi yang tidak pernah kering.

Slot wanita bukan sekadar ruang berkongsi kisah, tetapi tempat untuk mengingatkan bahawa menjaga diri bukan satu kesalahan.

Mengakui penat bukan tanda gagal. Ia tanda keberanian untuk jujur dengan diri sendiri.

Wanita tidak memerlukan pujian kosong atau nasihat klise.

Mereka hanya perlukan ruang selamat untuk didengar, difahami dan disokong.

Perkongsian tanggungjawab, empati dan sokongan emosi mampu meringankan beban yang selama ini dipikul sendirian.

Mungkin sudah tiba masanya kita mendefinisikan semula makna ‘wanita kuat’.

Kuat bukan bermaksud menahan segalanya sendirian, tetapi berani menjaga diri dan meminta sokongan apabila diperlukan kerana wanita juga berhak berehat dan didengari.

Wanita tidak perlu membuktikan kekuatan mereka dengan menderita dalam diam.

Tip Ringkas Jaga Emosi Diri untuk Wanita

1. Ambil masa untuk diri sendiri – walau 10 hingga 15 minit sehari untuk tenang atau lakukan perkara yang disukai.

2. Luahkan perasaan – kongsi dengan sahabat, keluarga atau catat dalam jurnal.

3. Utamakan keperluan sendiri – jangan selalu dahulukan orang lain sampai diri terabai.

4. Tetapkan sempadan – belajar berkata ‘tidak’ tanpa rasa bersalah.5. Aktiviti fizikal ringkas – berjalan, regangan atau senaman ringan bantu kurangkan tekanan.

6. Amalkan kawalan nafas atau meditasi ringkas – bantu menenangkan fikiran dan emosi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top