Pelakon versatile, Rita Rudaini lantang menyuarakan sokongan terhadap saranan kerajaan untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap individu yang culas membayar nafkah, khususnya melibatkan bekas suami yang gagal menunaikan tanggungjawab terhadap bekas isteri dan anak-anak.
Menurut Rita, isu nafkah bukan perkara baharu dan sudah berlarutan sejak sekian lama tanpa ada jalan penyelesaian.
Tambahnya, kegagalan membayar nafkah seharusnya dikenakan sekatan tegas termasuk larangan untuk berkahwin lain selagi hutang nafkah tidak diselesaikan.
“Sila buat, kerana masalah nafkah ni dari zaman dulu lagi. Sebab tu arwah-arwah nni semua berani buat sesuka hati.
“Culas bayar nafkah sepatutnya pejabat agama jangan bagi nikah lain selagi hutang mereka pada bekas isteri dan anak-anak tak selesai,” tegasnya.
Perkara itu dikongsi Rita menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram Story miliknya.

Mengulas lanjut, Rita juga mencadangkan agar pendekatan penguatkuasaan dibuat persis sistem yang diguna pakai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Buat macam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Tak bayar cukai, tak boleh travel ke luar negara, tak bayar loan.. tak boleh buat pinjaman.
“Gagal bayar hutang, bankrup! Kalau tidak sampai kiamat pun tak settle masalah tanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, ibu anak dua ini turut memaklumkan, tanggungjawab bapa adalah wajib meskipun anak-anak dibawah jagaan ibu.
“Nafkah anak tetap tanggungjawab bapa walaupun ibu jaga,” jelasnya.






