PETALING JAYA: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) pada akhir bulan Disember 2025 meningkat kepada AS$125.5 bilion, kekal kukuh dan memadai untuk menyokong keperluan pembiayaan ekonomi negara.
BNM dalam kenyataan memaklumkan, paras rizab tersebut telah mengambil kira perubahan suku tahunan hasil penilaian semula kadar pertukaran asing, sejajar dengan pergerakan pasaran kewangan global.
“Rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Disember 2025 adalah mencukupi untuk membiayai 4.7 bulan import barangan dan perkhidmatan, selain bersamaan 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek negara.
“Kedudukan rizab yang stabil ini mencerminkan keupayaan Malaysia mengekalkan penampan kewangan yang mencukupi dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, di samping menyokong kestabilan nilai ringgit serta keyakinan pelabur terhadap ekonomi domestik,” katanya.
Mengulas lanjut BNM berkata, pengurusan rizab antarabangsa terus dilaksanakan secara berhemat bagi memastikan kecairan yang mencukupi dan kebolehgunaan rizab untuk memenuhi keperluan kewangan negara.
“Paras rizab antarabangsa pada akhir Disember 2025 menunjukkan kedudukan kewangan luaran Malaysia kekal stabil dan berdaya tahan, selari dengan asas ekonomi negara yang mampan,” katanya. –UTUSAN





