Rizwadi punyai disiplin tinggi, komited berkhidmat kepada rakyat – Muhyiddin

Rizwadi punyai disiplin tinggi, komited berkhidmat kepada rakyat – Muhyiddin


KUALA LUMPUR – Pemilihan Mohd Rizwadi Ismail sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menggunakan logo Pas disifatkan sebagai tepat dan memenuhi kriteria.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau yakin dengan calon anak muda itu kerana sentiasa bergiat aktif dalam kegiatan kemasyarakatan di Nenggiri.

“Pemilihan beliau sebagai calon PN yang bertanding menggunakan logo Pas adalah tepat dengan mengambil kira kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh pimpinan PN.

“Saya percaya beliau amat mengetahui selok-belok masyarakat setempat dan Insya-Allah akan dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat apabila terpilih sebagai wakil rakyat nanti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PN dan Barisan Nasional.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala PN pula, meletakkan Mohd Rizwadi yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kedua-dua mereka diumum sebagai calon yang layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri Nik Raisnan Daud, selepas selesai proses penamaan calon pada 10 pagi tadi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, Kelantan.

PRK Nenggiri diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan Ke-15 tahun lepas, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo Pas menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.

Menurut Muhyiddin, sebagai bekas anggota tentera, beliau juga percaya Mohd Rizwadi mempunyai tahap disiplin yang tinggi di samping sahsiah terpuji.

“Ini antara kualiti yang amat penting untuk memastikan beliau sentiasa komited berkhidmat kepada rakyat.

“Saya memberikan sokongan penuh kepada beliau sebagai calon PN dan menyeru semua pengundi di DUN Nenggiri supaya keluar beramai-ramai pada hari mengundi untuk memilih Mohd Rizwadi sebagai wakil rakyat anda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top