RM2.29 bilion, peruntukan tertinggi dalam sejarah untuk mantapkan operasi Maritim Malaysia

RM2.29 bilion, peruntukan tertinggi dalam sejarah untuk mantapkan operasi Maritim Malaysia


anbia@hmetro.com.my

Putrajaya: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dijangka mencatat lonjakan peruntukan tertinggi dalam sejarah penubuhannya apabila kerajaan meluluskan sebanyak RM2.29 bilion bagi tahun 2026, sekali gus meletakkan keselamatan perairan negara sebagai keutamaan strategik nasional.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, peruntukan itu merangkumi RM1.09 bilion Belanja Mengurus (OE) dan RM1.2 bilion Belanja Pembangunan (DE) bagi memastikan kesiapsiagaan operasi, pemodenan aset serta keupayaan penguatkuasaan sentiasa berada pada tahap optimum dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Mohd Rosli turut berkata, peruntukan pembangunan bagi tahun 2026 menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 101.43 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi utama keselamatan maritim negara di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Tumpuan pada tahun 2026 adalah kepada perolehan aset strategik, pembangunan infrastruktur serta penerapan teknologi moden supaya kehadiran Maritim Malaysia di perairan negara dirasai,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Amanat Tahun Baharu 2026 Maritim Malaysia, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Nor Hisham Ibrahim, Pemangku Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah, Pengarah-Pengarah Bahagian serta Pengarah- Pengarah Maritim Negeri.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Rosli turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Maritim Malaysia atas pencapaian penguatkuasaan sepanjang 2025 apabila agensi ini merekodkan nilai rampasan berjumlah RM102.9 juta hasil daripada 248,058 pemeriksaan, membabitkan 1,124 kes tangkapan dan rampasan bagi pelbagai kesalahan undang-undang maritim bermula 1 Januari hingga 31 Disember tahun 2025.

Mengulas lanjut hala tuju 2026, beliau berkata, KDN menetapkan sasaran hari operasi di laut ditingkatkan kepada 280 hari berbanding 250 hari pada 2025, selari dengan keperluan memperkukuh kehadiran berterusan Agensi ini di perairan negara.

Selain itu, fokus 2026 turut terarah kepada perolehan pesawat Maritime Surveillance Aircraft (MSA), pelan penggantian kenderaan operasi serta pembinaan dan naik taraf kompleks serta jeti maritim di lokasi strategik.

“Saya turut ingin memaklumkan, projek kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) pertama kini mencapai kemajuan 58.3 peratus, mendahului jadual asal dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027, manakala perolehan empat helikopter Medium Lift AW189 mencatat kemajuan 44.66 peratus dengan penerimaan pesawat pertama dijangka pada Julai 2026,” tambah beliau.

Mohd Rosli dalam pada itu menegaskan, Maritim Malaysia akan terus mengamalkan Whole-of-Government melalui kerjasama bersepadu bersama agensi di bawah KDN, termasuk perkongsian maklumat risikan dan operasi bersama, bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan demi keselamatan perairan, kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Beliau turut mengingatkan kepada semua pegawai dan anggota agar menjalankan tugas dengan amanah dan penuh berintegriti di samping mengamalkan tatakelola yang ditetapkan agar nama baik Agensi ini sentiasa dihormati dan disegani.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top