RM2.62b perkukuh agenda kemahiran negara 2025

RM2.62b perkukuh agenda kemahiran negara 2025

RM2.62b perkukuh agenda kemahiran negara 2025


suliati@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelaburan dalam pembangunan kemahiran terus menjadi antara keutamaan negara sepanjang 2025 apabila Human Resource Development Corporation (HRD Corp) meluluskan bantuan kewangan berjumlah RM2.62 bilion bagi pelaksanaan aktiviti latihan dan pembangunan kemahiran, mencatat peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding tahun 2024.

Dalam tempoh sama, lebih 2.8 juta tempat latihan diluluskan, mencerminkan peningkatan tiga peratus berbanding 2024, sekali gus menggambarkan pertumbuhan berterusan dalam agenda pembangunan modal insan negara.

Sektor pembuatan merekodkan jumlah tempat latihan tertinggi dengan lebih 795,000 tempat latihan sepanjang 2025.

Sektor ini kekal sebagai penyumbang kedua terbesar kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) dengan menyumbang antara 23 hingga 25 peratus.

Malah, sehingga November 2025, seramai 2.4 juta pekerja direkodkan merangkumi segmen produk elektrik dan elektronik, produk makanan dan minuman serta produk petroleum dan kimia dengan purata gaji dan upah meningkat 1.1 peratus tahun ke tahun.

Pada masa sama, sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terus memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi digital negara.

Pada 2024, ekonomi digital menyumbang 23.4 peratus kepada KDNK dan dijangka meningkat kepada 25 peratus pada 2025.

Bagi menyokong keperluan tersebut, bantuan kewangan berjumlah RM130 juta diluluskan di bawah inisiatif Revolusi Industri Keempat (IR4.0), membabitkan lebih 103,000 tempat latihan merangkumi keseluruhan sektor ekonomi digital dan ICT.

Ini jelas menunjukkan pembangunan kemahiran semakin menjadi faktor penting dalam memperkukuh daya tahan tenaga kerja dan meningkatkan daya saing perniagaan.

Ketika industri berdepan perubahan teknologi pantas, persaingan semakin sengit untuk tenaga kerja berkemahiran serta keperluan pekerjaan semakin kompleks, HRD Corp memberi tumpuan kepada penyampaian hasil yang praktikal kepada majikan, mudah diakses oleh komuniti dan sejajar dengan hala tuju masa depan pembangunan tenaga kerja di Malaysia serta rantau ASEAN.

Selain tumpuan kepada keperluan industri, akses inklusif kepada pembangunan kemahiran turut menjadi keutamaan.

Sepanjang 2025, seramai 18,137 rakyat Malaysia menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif pembangunan kemahiran hasil gabungan geran kerajaan dan dana dalaman.

Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Inisiatif Kemahiran Masyarakat India Malaysia (MISI) yang memberi tumpuan kepada peluasan akses latihan dan peningkatan kebolehpasaran komuniti India.

Sepanjang tahun lalu, seramai 1,108 peserta menerima latihan di bawah inisiatif ini, dengan tambahan 442 peserta lagi dijangka akan dilatih.

Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan HRD Corp dalam memperkukuh pembangunan modal insan yang inklusif dan seimbang.

Bagi sektor pengangkutan dan logistik, Inisiatif Professional Advancement in Trucking and Haulage (PATH) dilaksanakan melalui kerjasama HRD Corp, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Pengangkutan (MoT).

Dengan objektif untuk memperkukuh tenaga kerja pengangkutan lori dan pengangkutan berat ini siatif itu menyasarkan 1,000 peserta di seluruh negara.

PATH memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran pekerja sedia ada serta pembangunan bakat baharu melalui latihan berstruktur yang merangkumi pensijilan pemanduan Kelas E dan Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL), termasuk E Kejur dan E Bersendi, serta kemahiran pemanduan defensif.

Dengan 156 peserta berjaya menamatkan latihan pada 2025, ia sekali gus menyokong peningkatan kebolehpasaran dan peluang pendapatan dalam sektor logistik dan pengangkutan.

Kerjasama strategik turut dilaksanakan bersama Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) bagi menyediakan latihan berasaskan kecekapan dan pensijilan sejajar dengan keperluan pasaran pekerjaan.

Seramai 427 peserta berjaya menamatkan latihan di bawah inisiatif itu dengan sokongan majikan yang menyediakan peluang penempatan pekerjaan.

Dalam usaha memperkukuh kepelbagaian dan keterangkuman dalam ekosistem latihan negara, HRD Corp melaksanakan Inisiatif Transformasi Pasaran Latihan (Training Market Transformation, TMT).

Sepanjang 2025, sebanyak lapan sesi Latihan Jurulatih (Train-the-Trainer) dilaksanakan, memberi manfaat kepada 134 orang kurang upaya (OKU).

Pembangunan kemahiran di peringkat komuniti turut diperkasa menerusi pendekatan berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Sepanjang 2025, seramai 9,929 peserta menerima latihan melalui Pusat Latihan Pembangunan Kemahiran (PLPK), manakala 4,210 individu mendapat manfaat daripada program kesedaran awam serta khidmat nasihat.

PLPK turut bekerjasama dengan 39 rakan strategik, sekali gus menonjolkan keberkesanan model penyampaian berasaskan komuniti dalam memperluaskan akses pembangunan kemahiran melangkaui kawasan bandar utama.

Bersempena dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, HRD Corp dengan sokongan KESUMA menerajui kepimpinan serantau dalam pembangunan modal insan menerusi ASEAN Year of Skills (AYOS 2025).

Inisiatif merangkumi tujuh platform utama dirangka secara kolaborasif bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) itu berjaya mencapai kemuncaknya melalui penganjuran Global Skills Forum (GSF) 2025 serta ASEAN Forum of Manpower Ministers for Human Capital Development (AFMM-HCD).

Salah satu acara utama HRD Corp, Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) yang diperkenalkan pada 2022 sudah memasuki edisi ketiga pada 2025, dengan capaian dan penyertaan diperluaskan.

Dianjurkan bersempena AYOS, NTW 2025 buat pertama kalinya membuka penyertaan melangkaui sempadan Malaysia, sekali gus mengukuhkan kerjasama serantau dan memperluas akses kepada peluang pembelajaran.

Dari sudut tadbir urus kewangan, pendekatan pelaburan berdisiplin dan berasaskan risiko terus diamalkan HRD Corp bagi melindungi dana penyumbang levi sambil memastikan pulangan jangka panjang yang mampan.

Berpandukan tadbir urus yang kukuh, peruntukan aset yang berhemat dan pengurusan risiko yang aktif, strategi pelaburan diselaraskan bagi mengimbangi pemeliharaan dana levi dan modal dengan pertumbuhan mampan dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pendekatan ini menyumbang kepada peningkatan aset di bawah pengurusan sebanyak tiga peratus kepada RM4.16 bilion, dengan portfolio pelaburan menjana pulangan RM215 juta, bersamaan pulangan atas pelaburan (ROI) sebanyak 5.35 peratus.

Ia sekali gus menegaskan komitmen HRD Corp terhadap pengurusan kewangan yang berintegriti dan berhemah.

Berlandaskan momentum pencapaian 2025, HRD Corp akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif pembangunan kemahiran pada 2026, dengan fokus terhadap peningkatan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemerkasaan tenaga kerja Malaysia ke arah tahap kemahiran yang lebih tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top