Lima syarikat Malaysia dijangka memuktamadkan urus niaga bernilai hampir RM2 bilion bersama rakan niaga antarabangsa sempena Makkah Halal Forum 2026 yang berlangsung dari 14 hingga 16 Februari ini.
Syarikat terlibat ialah Jaman Tory Group Sdn. Bhd., A&A Empire Sdn. Bhd. (Bokitta), Agro 19 Berhad, Ramly Food Processing Sdn. Bhd., dan Ayamas Integrated Poultry Industry Sdn. Bhd.

KUSKOP bantu 5 syarikat Malaysia
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, berkata penyertaan kali ini berjaya membantu syarikat terbabit merealisasikan potensi nilai jualan yang signifikan melalui platform berkenaan.
“Ini bukan setakat pergi buat pameran dan penerokaan, tetapi buat pertama kalinya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Bank Rakyat melaksanakan program bimbingan dan pengupayaan dengan memadankan perniagaan Malaysia ke pasaran eksport sehingga berjaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Dari kiri; PAin Syakira binti Razali (Pereka Grafik, Bokitta), Hambali bin Ab Rani (Pengurus Pembangunan Perniagaan, Agro 19 Berhad), Datuk Johar bin Che Mat (Pengarah Ayamas Intergrated Poultry Industry Sdn Bhd), Ahmad Shahril bin Mohd Shariff (Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat), YB Steven Sim Chee Keong (Menteri KUSKOP), Datuk Mohamad bin Alamin (Timbalan Menteri KUSKOP), Atta bin Ahmad (Pengarah Jamantory Semambu), Badrulzaman bin Baharuddin (Ketua Pegawai Operasi Ramly Food Processing Sdn Bhd)
Tambah beliau, Arab Saudi yang menerima kira-kira 30 juta pelawat antarabangsa setiap tahun merupakan pasaran strategik dan pintu masuk penting untuk memperkenalkan produk serta jenama Malaysia kepada komuniti global, terutamanya dalam ekosistem halal yang berkembang pesat.
“Bank Rakyat sebagai agensi di bawah KUSKOP menyokong inisiatif berkenaan melalui penyediaan kemudahan pembiayaan bagi memperkukuh keupayaan kewangan syarikat terlibat dalam usaha pengembangan pasaran ke Asia Barat,” jelas beliau.

Artikel lain: KUSKOP perkenal BARAKAT, BERKAT! Skim pembiayaan usahawan sempena Ramadan, Tahun Baharu Cina
Kelima-lima syarikat tersebut merupakan pelanggan sedia ada dalam ekosistem Bank Rakyat dan dipilih berdasarkan tahap kesediaan eksport serta potensi pertumbuhan antarabangsa.
Program rintis ini dijangka diteruskan untuk membimbing lebih ramai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia menembusi pasaran domestik dan antarabangsa, selaras dengan Strategi ABCD yang diperkenalkan kementerian.






