ANTONY dilaporkan masih berbelah bahagi untuk menyertai Fenerbahce walaupun kelab Turkiye itu bersetuju membayar harga yang diminta Manchester United sebanyak €45 juta (RM220 juta).
United kini mahu melepaskan Antony secara tetap selepas pemain itu mempamerkan prestasi cemerlang ketika dipinjamkan ke Real Betis pada separuh kedua musim lalu.
Betis sebelum ini menyatakan hasrat untuk mendapatkan semula khidmat Antony, namun menegaskan mereka tidak akan melangkaui kemampuan kewangan kelab.
“Setiap hari yang berlalu membuatkan kami lebih berharap dia kembali ke sini. Tetapi jika Antony bersama kami, itu kerana angka yang dipersetujui. Paling penting adalah kelestarian kelab, kami tidak boleh lakukan sesuatu yang gila,” kata Pengarah Bola Sepak Betis, Manu Fajardo.
Menurut laporan ESPN Brasil, Fenerbahce sudah mengambil langkah agresif untuk menandatangani Antony dan memaklumkan kepada United bahawa mereka sanggup membayar €45 juta bagi mendapatkan pemain berusia 25 tahun itu.
Namun, Antony dikatakan masih belum yakin dengan perpindahan ke pasukan kendalian Jose Mourinho dan sedang menunggu pilihan lain.
Keutamaan Antony difahamkan adalah kembali ke Betis selepas menjaringkan sembilan gol dalam 26 penampilan musim lalu.
Pengendali Betis, Manuel Pellegrini, turut mengulangi keinginannya untuk membawa Antony pulang ke kelab.
“Saya tidak bercakap dengan Antony, tetapi semua tahu dia sangat gembira ketika enam bulan bersama kami. Kami mahukannya kembali, dia juga mahu kembali, tetapi semuanya bergantung kepada keputusan Manchester United sebagai pemegang kontraknya,” katanya.
Dalam masa sama, Fenerbahce turut bersetuju membawa masuk pemain tengah West Ham, Edson Álvarez secara pinjaman hingga tamat musim.