RM3.2 juta diperuntuk perkasa rukun tetangga, tambah baik SRS

RM3.2 juta diperuntuk perkasa rukun tetangga, tambah baik SRS


PUTRAJAYA: Sebanyak RM3.2 juta diperuntukkan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) tahun ini bagi memperkukuh keselamatan dan ketahanan komuniti di bawah Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga (RT) Sebagai Penggerak Komuniti Progresif.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, jumlah itu meliputi RM 837,500 untuk pembekalan dan penggantian fasiliti keselamatan Skim Rondaan Sukarela (SRS)  bagi manfaat kepada 119 buah RT.

Katanya, sebanyak RM 2,175,00 pula diperuntukkan bagi pembekalan 69 buah kabin SRS baharu dan sebanyak RM 231,692 untuk pembaikan kabin sedia ada di 18 kawasan SRS.

“Kementerian menyasarkan agar kekerapan aktiviti kawalan dan rondaan SRS dapat dipertingkatkan lagi termasuk penglibatan golongan muda dalam SRS.

“Justeru, sebagai penghargaan kepada khidmat bakti yang disumbangkan secara sukarela oleh ahli jawatankuasa (AJK) RT dan anggota SRS, maka kerajaan menyediakan insentif kepada kumpulan ini melalui Skim Insurans Kemalangan Diri Berkelompok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Keselamatan Kejiranan dan Jom Ronda SRS Bersepadu Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya Tahun 2024, di sini hari ini.

Aaron berkata, setakat bulan lalu, sejumlah 5,409 SRS ditubuhkan dengan keanggotaan hampir 100,000 di seluruh negara sebagai paltform membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah di komuniti setempat.

Katanya, setelah 20 tahun sejak diwujudkan pada 2004, pihak kementerian melalui JPNIN merangka hala tuju baharu ‘Meremajakan SRS’ bertujuan melonjakkan peranan kumpulan itu sebagai entiti penting di peringkat komuniti.

Menurut beliau, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah meningkatkan keberkesanan SRS melalui penggunaan aplikasi teknologi moden dalam menjalankan tugas kawalan dan rondaan.

“Selain itu kualiti peralatan SRS ditambah baik dan memupuk budaya kesukarelawanan dalam kalangan komuniti melalui aktiviti keselamatan kejiranan dengan ‘Kempen 1 Keluarga 1 Anggota SRS’,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, peranan RT diperkasakan sebagai penggerak utama dan penghubung jalin dalam komuniti melalui peningkatan keupayaan dan struktur pentadbiran kukuh.

“RT Progresif ini dijangka memacu kecemerlangan dalam khidmat komuniti dan kerja kemasyarakatan melalui lapan bidang tumpuan merangkumi Ekonomi dan Sara Hidup; Keselamatan dan Ketahanan Komuniti; Kepimpinan dan Kesejahteraan Komuniti.

“Ini termasuk Pembelajaran Sepanjang Hayat; Alam Sekitar; Warisan dan Budaya; dan Daya Cipta,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top