GERIK: Sebanyak RM350 juta diperuntukan untuk menaik taraf Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di sini melibatkan jajaran di negeri Perak.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan tersebut di bawah Rolling Plan (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 bagi memastikan laluan tersebut lebih selamat dan selasa.
Beliau berkata, kerja-kerja naik taraf awalan di laluan itu boleh dimulakan tahun ini dan berharap sebahagiannya mula dilaksanakan secara fizikal tahun depan.
“Ini merupakan berita baik untuk JRTB. Kerajaan sememangnya sudah mempunyai perancangan untuk menaik taraf laluan ini sejak dahulu lagi, bukan disebabkan kemalangan teruk yang berlaku baru kita nak mula (naik taraf).
“Kita sudah rancang dulu, sebab itu tahun lepas kita sudah pasang 385 lampu solar di laluan ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika melawat JRTB termasuk lokasi kemalangan bas melibatkan pelajar Universiti Pendididkan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53 laluan itu pada 9 Jun lalu.
Kemalangan menyebabkan 15 pelajar UPSI maut apabila bas dinaiki mereka dari Jerteh, Terengganu terlibat kemalangan.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan RM350 juta yang diperuntukkan, sebanyak RM170 juta akan digunakan di 17 lokasi di laluan itu.
Katanya, ini bermakna satu lokasi RM10 juta untuk pelebaran jalan sebagai lorong memotong.
“Kita sudah kenal pasti ada 17 lokasi, ini akan membantu menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak RM40 juta diperlukan untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan JRTB melibatkan jajaran di Perak tahun ini.
Katanya, ini sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna.
“Peruntukkan itu melibatkan pelaksanaan pelbagai kerja penyelenggaraan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi termasuk pembaikan permukaan jalan, pemasangan kemudahan keselamatan dan penambah baikan pencahayaan,” katanya. – UTUSAN






