BAKAT ada, peluang sudah terbuka, tetapi kos tinggi menjadi tembok paling besar buat Hakim Danish Ramli merealisasikan kemunculan sepenuh musim dalam Moto3 tahun depan apabila perbelanjaan diperlukan mencecah RM4 juta.
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, kerajaan telah menyalurkan hampir RM2 juta tahun ini bagi membantu pelumba muda berusia 18 tahun itu, namun jumlah berkenaan masih belum cukup untuk menampung keseluruhan kos perlumbaan.
“Sejak tahun lalu lagi kita sudah bantu. Tahun ini sahaja hampir RM2 juta diperlukan Hakim Danish, tetapi keseluruhan kos yang dilaporkan mencecah RM4 juta. Dana kerajaan juga sudah digunakan sebaik mungkin untuk membantu” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Eco Lifestyle Med Health di Kuala Lumpur pada Khamis.
Turut hadir, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Pengasas Eco Lifestyle Group, Tan Hai Yong.
Adam menegaskan, Hakim Danish yang kini bersama pasukan ZK Racing dengan sokongan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), memerlukan tajaan tambahan khususnya daripada sektor korporat bagi memastikan penyertaannya dalam saingan Moto3 dapat direalisasikan.
“Kita mahu banyak pihak luar, terutama korporat yang berkemampuan tampil membantu. Hakim berada pada tahap yang cukup memberangsangkan dan pelaburan terhadap bakatnya adalah satu pelaburan masa depan,” katanya.
Adam turut mendedahkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah mengemukakan permohonan dana tambahan kepada Kementerian Kewangan untuk membantu bukan sahaja Hakim, tetapi juga atlet lain di bawah program pembangunan sukan bermotor.
“KBS juga sedang bekerjasama dengan MAM (Persatuan Sukan Bermotor Malaysia) dan SIC bagi melihat bentuk bantuan jangka pendek yang boleh digerakkan.
“Namun kita perlu akui, kos sukan permotoran ini memang sangat tinggi dan memerlukan pembabitan pihak luar,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif sebelum ini menjelaskan pihaknya kini giat berunding bersama pasukan ZK Racing serta beberapa pihak berkepentingan lain untuk memastikan perjalanan karier Hakim tidak terhenti di tengah jalan.
Ringkasan AI
- BAKAT ada, peluang sudah terbuka, tetapi kos tinggi menjadi tembok paling besar buat Hakim Danish Ramli merealisasikan kemunculan sepenuh musim dalam Moto3 tahun depan apabila perbelanjaan diperlukan mencecah RM4 juta
- Kerajaan telah menyalurkan hampir RM2 juta tahun ini bagi membantu pelumba muda berusia 18 tahun itu, namun jumlah berkenaan masih belum cukup
- Hakim Danish yang kini bersama pasukan ZK Racing memerlukan tajaan tambahan khususnya daripada sektor korporat
- Kementerian Belia dan Sukan sudah mengemukakan permohonan dana tambahan kepada Kementerian Kewangan untuk membantu bukan sahaja Hakim, tetapi juga atlet lain di bawah program pembangunan sukan bermotor
- Kos sukan permotoran sangat tinggi dan memerlukan pembabitan pihak luar