RM8.4 bilion rampasan, pulih hasil rasuah tahun ini

RM8.4 bilion rampasan, pulih hasil rasuah tahun ini


mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas dan memulihkan hasil rasuah lebih RM8.4 bilion menerusi pelbagai tindakan penguatkuasaan awal tahun ini sehingga 30 November lalu.

SPRM berkata, daripada jumlah itu, sitaan aset mencatat nilai tertinggi membabitkan RM6.82 bilion iaitu sebanyak RM6.26 bilion dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Menurutnya, manakala RM566.77 juta disita mengikut Akta SPRM 2009.

“Aset bernilai RM36.14 juta turut dibekukan mengikut AMLATFPUAA 2001 selain melucuthakkan aset berjumlah RM7.49 juta melalui pelbagai peruntukan undang-undang, termasuk Akta SPRM 2009 dan Kanun Tatacara Jenayah.

“Bagi tindakan kompaun pula, SPRM berjaya mengutip RM49.58 juta, manakala kaedah lain pemulihan aset menyumbang nilai besar iaitu RM1.49 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut SPRM, dari segi operasi, sebanyak 6,114 maklumat berkaitan rasuah diterima sepanjang tempoh sama.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 966 kertas siasatan dibuka selain 1,128 tangkapan dilakukan seterusnya membawa kepada 445 pertuduhan dan 189 sabitan di mahkamah.

“Berdasarkan analisa tangkapan menunjukkan sektor swasta mencatat jumlah tertinggi dengan 504 individu, diikuti penjawat awam (423 orang), orang awam (163), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seramai 34 orang dan empat ahli politik.

“Mengikut jantina, lelaki mendominasi tangkapan dengan 904 orang, berbanding 224 wanita,” katanya.

SPRM berkata, semua nilai rampasan dan sitaan itu membabitkan siasatan dijalankan termasuk kes rasuah Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Operasi lain iaitu Op Rentas, Op Tiger, Op Metal, Op Grip, Op Kembali, Op Sky dan Op Sohor.

“Prestasi ini mencerminkan pendekatan tegas SPRM bukan sahaja dalam aspek tangkapan dan pendakwaan, malah menumpukan pemulihan aset sebagai strategi utama memerangi rasuah dan jenayah kewangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top