am@hmetro.com.my
Sepang: Cubaan pemandu Perodua Alza menawarkan perkhidmatan kereta sewa secara haram mengundang padah apabila dia ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.
Tindakan penguatkuasaan itu dilakukan hasil susulan intipan dan pemantauan di Terminal 2 KLIA, Stesen Penguat kuasa KLIA.
JPJ Selangor berkata, sebuah Perodua Alza bersama pemandunya ditahan dan kenderaan berkenaan disita untuk tindakan serta siasatan selanjutnya.
“Siasatan awal mendapati ‘ulat’ itu memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada seorang penumpang warga Indonesia dari Terminal 2 KLIA ke Terminal 1 KLIA dengan kadar tambang RM80 dan akan dibayar bila sampai ke destinasi.
“Mana-mana mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Sesiapa yang didapati bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ itu juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) mengikut akta sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, orang awam juga dinasihatkan supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.
“Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






