Roberta Flack, penyanyi 'Killing Me Softly With His Song' meninggal dunia

Roberta Flack, penyanyi 'Killing Me Softly With His Song' meninggal dunia


New York: Penyanyi R&B, Roberta Flack, yang terkenal dengan lagu hit seperti ‘The First Time Ever I Saw Your Face‘ dan ‘Killing Me Softly With His Song’, meninggal dunia pada usia 88 tahun.

“Kami amat berduka cita dengan pemergian Roberta Flack hari ini, 24 Februari 2025.

“Beliau meninggal dunia dengan tenang dikelilingi oleh keluarga tercinta.

“Roberta memecahkan pelbagai halangan dan rekod. Beliau juga seorang pendidik yang berjasa,” kata kenyataan daripada wakilnya seperti dilaporkan BBC.

Pada 2022, Flack mengumumkan beliau menghidap penyakit motor neurone (penyakit saraf yang menyebabkan kerosakan pada sel yang mengawal pergerakan otot dalam badan), dan tidak lagi dapat menyanyi.

Dilahirkan di North Carolina dan dibesarkan di Arlington, Virginia, penyanyi ini bermula sebagai pemain piano klasik, dan mula mengajar muzik.

Kerjaya rakamannya bermula selepas beliau ditemui sedang menyanyi di sebuah kelab jazz oleh pemuzik Les McCann, yang kemudiannya menulis ‘suara beliau menyentuh, mengetuk dan menggoncang setiap emosi yang pernah dialami’.

Namun, beliau tidak mencapai kejayaan pertama sehinggalah di usia 30-an, apabila rakamannya bagi lagu The First Time Ever I Saw Your Face karya Ewan MacColl digunakan untuk mengiringi babak cinta eksplisit dalam filem Clint Eastwood tahun 1971, Play Misty For Me.

Lagu itu kemudiannya dinobatkan sebagai Lagu Terbaik di Anugerah Grammy.

Flack memenangi anugerah itu buat kali kedua pada tahun berikutnya, untuk lagu Killing Me Softly With His Song.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top