Romania anjurkan majlis kalungan pingat gangsa kepada Ana

Romania anjurkan majlis kalungan pingat gangsa kepada Ana


Bucharest: Gimnas Romania, Ana Barbosu, akan menerima pingat gangsa untuk rutin senaman lantainya di Sukan Olimpik Paris 2024 Jumaat ini dalam satu majlis di ibu kota, Bucharest.

Jawatankuasa Olimpik dan Sukan Romania mengumumkan semalam bahawa Ana akan menerima pingat yang dipertikaikan itu daripada Octavian Morariu, ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dari Romania, dan Mihai Covaliu, presiden jawatankuasa Olimpik kebangsaan.

Sementara itu, Gimnastik Amerika Syarikat terus berjuang untuk membolehkan gimnas mereka, Jordan Chiles, mengekalkan pingat berkenaan, yang diberikan kepadanya selepas senaman lantai dalam pertandingan individu pada 5 Ogos.

Jordan memenangi gangsa dalam senaman lantai wanita di Paris 2024 apabila jurulatihnya mengemukakan pertanyaan untuk mencabar markah awal hakim dan markahnya diperbetulkan dari 13.666 kepada 13.766.

Jordan naik ke tempat ketiga, mengatasi Ana dan Sabrina Maneca Voinea juga dari Romania.

Romania membawa kes mereka ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), mengatakan bahawa pertanyaan Amerika Syarikat (AS) tidak dibuat dalam tempoh satu minit yang dinyatakan dalam peraturan.

Romania berhujah bahawa pihak AS terlepas had masa itu sebanyak empat saat.

CAS memutuskan memihak kepada Romania dan memerintahkan supaya pingat gangsa Jordan diberikan semula kepada Ana, yang terikat dengan rakan senegara dengan markah 13.7 tetapi mempunyai markah pelaksanaan yang lebih tinggi.

Namun, AS kemudian membalas dengan bukti video bahawa jurulatih Cecile Landi membuat rayuan 47 saat selepas markah awal Jordan dipaparkan, iaitu dalam had masa yang ditetapkan.

Itu tidak cukup untuk CAS menilai semula.

Sekarang, Gimnastik AS merayu kepada Mahkamah Agung Persekutuan Switzerland selepas CAS menolak permintaan untuk mengkaji semula kes berkenaan.

Tidak jelas sama ada Jordan menyerahkan semula pingat itu kepada IOC, begitu juga dengan Ana sama ada dia menerima pingat yang sama atau duplikat.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top