Jentera penyudah Selangor perlu lebih klinikal di depan pintu gawang selepas kurang menyerlah ketika berdepan PDRM dan Cebu FC baru-baru ini. Gambar kecil: Mohd Faizal
KEPUTUSAN seri 1-1 ketika Selangor FC bertandang ke Selayang berdepan PDRM FC dalam saingan Liga Super Sabtu lalu memberi isyarat jelas agar langkah drastik perlu dilakukan bagi mempertajamkan jentera serangan skuad Gergasi Merah.
Deretan peluang terhidang gagal disudahkan dengan baik oleh jentera serangan yang diketuai Ronnie Fernandez sehingga memaksa skuad bimbingan Nidzam Jamil berpuas hati dengan satu mata setelah pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.
Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid menyifatkan pemain yang gagal beraksi pada tahap prestasi sebenar perlu direhatkan dan peluang tersebut diberikan kepada penyerang lain.
Beliau berkata, menerusi perjalanan Liga Malaysia (Liga-M) yang masih panjang dan cabaran dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2), langkah segera perlu dilakukan bagi mengelak ia berlarutan sehingga ke akhir musim.
“Peledak yang kurang berbisa perlu ditukar dengan penyerang berkualiti. Pasukan tiada pilihan, rombak barisan depan dan beri peluang kepada penyerang lain.
“Ketumpulan jentera serangan nampak ketara. Pasukan perlu kepada mesin gol, bukan pemain yang kerap hilang bola. Sesuatu perlu dilakukan segera,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang tersebut, SFC terlebih dahulu di depan menerusi Alvin Fortes pada minit ke-16, sebelum Aremu Timothy mengikat kedudukan pada penghujung babak kedua.
Skuad Gergasi Merah akan kembali ke pentas Asia untuk melayan kunjungan Jeonbuk dalam perlawanan ketiga Kumpulan H ACL 2 di laman sendiri pada Rabu.
Justeru, Mohd Faizal berharap wajah baharu dapat membarisi jentera serangan dalam misi SFC memburu tiga mata berharga di depan penyokong sendiri.
“Ali Olwan antara calon yang sesuai menggantikan posisi Ronnie,” katanya.
Selangor ketika ini menghuni tangga kedua kumpulan setelah masing-masing menang dan seri sekali untuk mengutip empat mata.
Skuad Gergasi Merah pada awal bulan ini menang tipis 1-0 ke atas Cebu FC dan terikat 1-1 dengan Muangthong United di laman lawan pada 19 September.