Ronaldo akui sukar capai 1,000 gol

Ronaldo akui sukar capai 1,000 gol


CRISTIANO Ronaldo mengakui dia mungkin tidak mempunyai masa yang cukup dalam kariernya untuk mencapai sasaran 1,000 gol yang diidamkannya.

Ronaldo yang kini sudah berusia 39 merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah bola sepak dengan 908 gol.

Dia pantas mencetak banyak gol sejak menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al Nassr pada Disember 2022.

Untuk musim ini, Ronaldo telah menjaringkan 10 gol dalam 15 perlawanan selain turut cemerlang meledak tiga gol dalam empat perlawanan terakhirnya untuk Portugal.

Bagaimanapun, dengan hari lahirnya yang ke-40 pada bulan Februari dan kontrak Al Nassrnya akan tamat pada musim panas depan, masa mungkin semakin suntuk untuknya meraih sasaran 1,000 gol itu.

“Saya kini berdepan dengan kehidupan saya pada masa ini. Saya tidak boleh berfikir untuk jangka masa panjang lagi.

“Saya tidak boleh lagi memikirkan apa yang saya katakan secara terbuka bahawa saya mahu mencapai 1,000 gol walaupun nampaknya semuanya mudah sekarang dan baru bulan lepas saya mencapai 900 gol.

“Ia mengenai hidup pada masa ini, menikmati masa ini, melihat tindak balas yang kaki saya akan berikan kepada saya dalam beberapa tahun akan datang.

“Seribu gol adalah hebat, tetapi jika ia tidak dicapai, saya sudah menjadi pemain dalam sejarah dengan gol terbanyak,” katanya.

Ronaldo tidak memberi sebarang petunjuk berapa lama lagi dia akan terus bermain untuk Portugal namun, dia berada dalam skuad untuk perlawanan Liga Negara-Negara UEFA akan datang menentang Poland dan Croatia.

Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada dia akan beraksi di Piala Dunia 2026.

Ronaldo berkata demikian selepas dianugerahkan trofi Quinas de Platina, anugerah tertinggi yang diberikan kepada pemain oleh Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF).

“Apabila saya menyertai pasukan kebangsaan pada usia 18 tahun, impian saya adalah untuk mendapatkan anugerah antarabangsa pertama saya,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top