Ronaldo beri bayangan kekal di Al Nassr

Ronaldo beri bayangan kekal di Al Nassr


Munich: Cristiano Ronaldo berkata, beliau akan kekal bersama Al Nassr buat masa ini ketika pemain berusia 40 tahun itu diminta menjelaskan di mana beliau akan bermain bola sepak pada musim hadapan.

Kapten Portugal itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan selepas menjaringkan 99 gol dalam 111 penampilan bersama kelab Liga Pro Saudi itu.

Gianni Infantino mencadangkan bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu menerima tawaran untuk berpindah ke kelab yang bakal bersaing dalam Piala Dunia Kelab musim panas ini.

Namun, Ronaldo pantas menafikan khabar angin tersebut dan selepas memenangi Liga Negara-Negara Uefa bersama Portugal, beliau mengesahkan akan terus kekal di kelabnya sekarang.

Kontrak Ronaldo akan tamat pada penghujung Jun, tetapi apabila ditanya mengenai perancangannya, beliau menjawab: “Masa depan? Ia tidak akan mengubah apa-apa.”

Apabila ditanya sama ada itu bermakna beliau akan kekal di Al Nassr, Ronaldo menjawab: “Ya.”

Ronaldo dikeluarkan pada minit ke-88 dalam perlawanan akhir Liga Negara-Negara menentang Sepanyol di Munich, di mana dia menjaringkan gol penyamaan kedua Portugal untuk membantu membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti selepas keputusan seri 2-2.

Dia kemudian menyaksikan bekas rakan sepasukannya di Real Madrid dan Juventus, Alvaro Morata, gagal menjaringkan sepakan penalti penting, sebelum Ruben Neves memastikan kemenangan Portugal menerusi sepakan terakhir.

“Sentiasa terasa istimewa untuk menjulang trofi. Walaupun kami pernah menjuarai kejohanan ini sebelum ini, bagi saya ia tetap seperti kali pertama,” kata Ronaldo, yang kini memiliki dua pingat kejuaraan Liga Negara-Negara selain kejayaan menjuarai Kejuaraan Eropah pada 2016.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top