BINTANG Al Nassr, Cristiano Ronaldo membuktikan bahawa dia tidak tamak gol tetapi juga pemain yang mengutamakan pasukan selepas tindakannya membenarkan rakan sepasukan, Sadio Mane mengambil sepakan penalti dalam perlawanan menentang Al Wehda pada Rabu.
Perlawanan yang berlangsung di gelanggang Al Wehda itu menyaksikan Al Nassr menang 2-0, namun sepak mula perlawanan mengalami kelewatan hampir sejam selepas Al-Nassr tiba lewat ke stadium.
Ronaldo kelihatan kecewa ketika memasuki bilik persalinan, tetapi situasi itu tidak menjejaskan persembahannya di atas padang.
Bintang Portugal itu membuka jaringan pada minit ke-48 selepas menerima hantaran silang daripada Angelo Gabriel yang dimasukkan pada babak kedua.
Ronaldo yang tidak dikawal barisan pertahanan lawan, berjaya menanduk bola melepasi penjaga gol Al Wehda, Abdullah Al-Owaishir, yang hanya mampu melihat bola menerjah jaring.
Jaringan tersebut meletakkan Ronaldo di tangga teratas senarai penjaring terbanyak Liga Pro Saudi dengan 17 gol, satu gol mengatasi bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Karim Benzema.
Ia juga merupakan gol ke-925 dalam kariernya, membawa beliau semakin hampir untuk mencapai angka bersejarah 1,000 gol.
Pada minit ke-100, Al Nassr dihadiahkan sepakan penalti yang dilihat sebagai peluang terbaik Ronaldo untuk melebarkan jurang dengan Benzema dalam perebutan kasut emas.
Namun, keputusan yang mengejutkan berlaku apabila Ronaldo menyerahkan peluang itu kepada rakan sepasukannya, Sadio Mane.
Tindakan itu menyebabkan sebilangan penyokong Al Nassr tidak berpuas hati.
Bagaimanapun, Ronaldo dilihat memberi isyarat kepada penyokong agar bertenang sebelum bertepuk tangan dan menunjuk ke arah Mane sebagai tanda sokongan.
Mane, yang sebelum ini mengalami kemarau jaringan dalam sembilan perlawanan berturut-turut, tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti dengan tenang, menewaskan penjaga gol lawan dan memastikan kemenangan Al Nassr.
Sikap tidak mementingkan diri yang ditunjukkan Ronaldo itu mendapat pujian meluas di media sosial, sekaligus mengukuhkan lagi statusnya sebagai ikon bola sepak yang bukan sahaja hebat di atas padang, tetapi juga mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.