Hong Kong: Cristiano Ronaldo diberi sambutan wira apabila memainkan peranan penting bersama Al Nassr dalam aksi Piala Super Saudi di Hong Kong, lokasi sama yang menyaksikan seteru utamanya, Lionel Messi menjadi ‘musuh nombor satu’ tahun lalu kerana gagal beraksi.
Kemenangan itu menyaksikan dia berjaya membawa Al Nassr mara ke separuh akhir Piala Super Saudi di Stadium Hong Kong,
Bintang berusia 40 tahun yang pernah menyarung jersi Manchester United dan Real Madrid itu mencipta satu bantuan gol dalam kemenangan 2-1 Al Nassr ke atas Al Ittihad yang dibarisi penyerang veteran Perancis, Karim Benzema.
Sorakan “Ronaldo, Ronaldo” bergema sejak detik dia keluar memanaskan badan pada malam yang lembap dan panas di selatan China, malah beberapa penyokong cuba menceroboh padang untuk mendekatinya selepas perlawanan namun gagal.
Setiap kali kapten Portugal itu, dengan jersi nombor tujuh ikoniknya menyentuh bola, sorakan gemuruh kedengaran.
Ia jauh berbeza dengan suasana tegang ketika Messi mencetuskan kemarahan penyokong selepas kekal di bangku simpanan dalam aksi persahabatan Inter Miami di Stadium Hong Kong pada Februari tahun lalu.
Ketiadaan Messi dalam perlawanan itu mencetuskan ejekan serta tuntutan bayaran balik daripada ribuan penyokong yang sudah membayar harga tinggi untuk menyaksikan juara dunia beraksi.
Biarpun Messi, 38, mendakwa dirinya cedera, penjelasan itu gagal meredakan kemarahan sehingga dua aksi persahabatan membabitkan skuad Argentina di China dibatalkan. Malah, sesetengah ahli politik dan media tempatan menafsirkan tindakannya ditambah dengan penampilannya di Jepun selepas itu sebagai penghinaan.
Messi dan Ronaldo bersaing lebih 15 tahun untuk gelaran tidak rasmi pemain terbaik dunia, meskipun kebelakangan ini bintang Argentina itu dianggap memiliki kelebihan.
Namun kedua-duanya kekal popular dan bernilai komersial tinggi biarpun di penghujung karier, dengan peminat berkampung di luar hotel Ronaldo di Hong Kong semata-mata untuk melihat sekilas wajahnya. Ada juga yang menempah bilik di hotel sama, malah sebuah muzium khas Ronaldo dibuka di bandar itu bulan lalu.
Media tempatan melaporkan Ronaldo kelihatan “tersentuh” ketika diberitahu mengenai sambutan luar biasa penyokong muda Hong Kong dalam satu kunjungan ringkas. “Ini lebih bermakna bagi saya berbanding sebarang trofi,” katanya.
Dalam perlawanan itu, bekas penyerang Liverpool, Sadio Mane meletakkan Al Nassr di depan sebelum Al Ittihad menyamakan kedudukan. Mane kemudian dibuang padang pada minit ke-25 selepas semakan VAR.
Ronaldo hampir menjaringkan gol enam minit sebelum rehat namun dinafikan dua kali, sebelum sepakan percuma lenyap sedikit melepasi palang.
Akhirnya dia menjadi watak penting apabila berjaya melepasi kawalan pertahanan Al Ittihad lalu melorongkan bola untuk Joao Felix, rakan senegara yang baru dipinjam dari Chelsea, menyempurnakan gol kemenangan.
Seorang peminat cilik yang memakai jersi “7 Ronaldo” menceroboh padang ketika bintang veteran itu digantikan pada minit terakhir, namun gagal mendapatkan swafoto selepas dihalang kawalan keselamatan. Dua lagi penyokong muda turut ditahan selepas wisel penamat ketika cuba meluru ke arah Ronaldo.
© New Straits Times Press (M) Bhd