Cristiano Ronaldo. Foto AFP
IKON bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo diharap dapat meneruskan aksi di pentas antarabangsa sehingga Piala Dunia 2030, meskipun sebelum ini membayangkan edisi 2026 bakal menjadi penampilan terakhirnya.
Ronaldo yang kini berusia 40 tahun bersedia melakar sejarah sebagai pemain pertama beraksi di enam edisi Piala Dunia, rekod yang bakal dikongsi bersama musuh tradisinya, Lionel Messi.
Kedua-dua legenda ini kini terikat dengan penampilan di lima kejohanan terdahulu.
Skuad A Selecao telah pun mengesahkan tiket ke kejohanan yang bakal berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat itu selepas kempen kelayakan yang cemerlang.
Meskipun komen terbaru Ronaldo sebelum ini seakan mengesahkan bahawa 2026 adalah pengakhiran kariernya di pentas terbesar itu, bekas rakan sepasukannya, Nuno Gomes memiliki pandangan berbeza.
Gomes percaya pemenang lima kali Ballon d’Or itu mungkin masih berminat untuk terus menyarung jersi kebangsaan bagi Piala Dunia ketujuh pada 2030 memandangkan Portugal bakal menjadi tuan rumah bersama.
“Ia satu soalan yang sukar. Saya rasa hanya dia (Ronaldo) yang tahu jawapannya kerana pada usia begini, dia menilai prestasinya tahun demi tahun.
“Dia masih cergas untuk bermain. Dia seorang yang sangat profesional dan contoh terbaik untuk generasi muda. Walaupun kepantasannya mungkin berkurangan berbanding ketika berusia 18 atau 20 tahun, namun dia masih tajam di depan gol,” kata Gomes.
Menurut Gomes, faktor jurulatih, Roberto Martinez juga memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan bintang itu.
“Namun, saya boleh katakan mungkin 2026 adalah yang terakhir. Tetapi memandangkan empat tahun lagi Portugal akan menjadi tuan rumah, mungkin itu peluang terbaik untuk dia mengucapkan selamat tinggal di halaman sendiri,” tambah bekas penyerang Benfica itu.
Jika Ronaldo memilih untuk terus bermain sehingga 2030, beliau akan berusia sekitar 45 tahun, sekali gus berpeluang memecahkan rekod pemain tertua dalam sejarah Piala Dunia yang kini dipegang oleh penjaga gol Mesir, Essam El Hadary (45 tahun, 161 hari).
Ringkasan AI
- Cristiano Ronaldo diharap dapat beraksi di Piala Dunia hingga 2030 walaupun pernah bayangkan 2026 sebagai penampilan terakhir
- Ronaldo dan Lionel Messi kini sama-sama memiliki rekod bermain di lima edisi Piala Dunia
- Portugal telah mengesahkan tiket ke Piala Dunia di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat
- Nuno Gomes percaya Ronaldo mungkin berminat bermain di Piala Dunia 2030 kerana Portugal jadi tuan rumah bersama
- Jika bermain hingga 2030, Ronaldo berpeluang jadi pemain tertua dalam sejarah Piala Dunia, memecahkan rekod Essam El Hadary






