Ronaldo masih belum memenangi trofi utama sejak menandatangani kontrak dengan Al-Nassr hampir dua tahun lalu.
CRISTIANO Ronaldo gagal menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan sekali gus menyaksikan Al-Nassr tersingkir daripada saingan Piala Raja Saudi selepas tewas 0-1 kepada Al-Taawoun pada Rabu.
Pemenang lima kali Ballon D’Or itu masih belum memenangi trofi utama sejak menandatangani kontrak dengan kelab itu hampir dua tahun lalu.
Beraksi pada peringkat pusingan 16 pasukan terbaik, Al-Taawoun mendahului menerusi tandukan Waleed Al-Ahmad ketika berbaki 20 minit permainan.
Namun, pertahanan Al-Taawoun, Al-Ahmad kemudian dipersalahkan kerana mengasari pemain lawan dalam kotak penalti pada minit ke-95.
Ronaldo telah menyempurnakan kesemua 18 sepakan penaltinya sebelum ini untuk Al-Nassr tetapi kali ini rembatannya melepasi palang.
Kekalahan itu adalah yang pertama buat Stefano Pioli sejak pengendali kelahiran Itali itu menggantikan Luis Castro sebagai ketua jurulatih pada September.
Ronaldo dan Al-Nassr masih mempunyai dua peluang untuk memenangi kejuaraan musim ini dalam aksi Liga Pro Saudi dan Liga Juara-Juara Asia.
“Secara teknikal kami beraksi dengan baik tetapi kami tidak boleh memenangi perlawanan.
“Kami kecewa kerana terkeluar daripada piala ini. Tetapi kami masih mempunyai dua trofi untuk diraih dan kami akan memberikan yang terbaik,” kata Pioli.