Ronaldo 'mengamuk' lagi

Ronaldo 'mengamuk' lagi


Doha: Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol untuk Al Nassr ketika menewaskan Al Gharafa 3-1 di Qatar bagi mengukuhkan peluang kelabnya ke peringkat lapan terakhir Liga Juara-Juara Elit Asia, awal pagi tadi.

Al Nassr hanya memerlukan dua mata lagi daripada tiga aksi terakhir kumpulan untuk mara dengan hanya Al Shorta di tangga kedua tercorot tetapi berbaki empat perlawanan boleh menafikan hasrat skuad Ronaldo selepas Persepolis seri 1-1 di Al Rayyan.

Ronaldo, 39, tampak kecewa apabila beberapa peluang terlepas pada babak pertama di Stadium Al Bayt.

Namun, bintang Portugal itu akhirnya memecah kebuntuan sejurus selepas rehat apabila menanduk masuk hantaran Sultan Al Ghannam dari jarak dekat.

Al Nassr menggandakan jaringan menerusi Angelo Gabriel, pemain yang ditandatangani dari Chelsea pada minit ke-58 sebelum dia membantu Ronaldo menjaringkan gol keduanya.

Jaringan itu yang keempat buat bekas penyerang Manchester United, Real Madrid dan Juventus terbabit di kejohanan itu sebelum digantikan pada minit ke-74.

Al Gharafa merapatkan jurang menerusi Joselu, bekas rakan sepasukan Ronaldo di Madrid.

Namun kebangkitan mereka terjejas selepas Seydou Sano dibuang padang enam minit sebelum masa permainan sebenar tamat susulan dilayang kad kuning kedua. .

Kemenangan membolehkan Al Nassr kekal tanpa kalah dalam lima perlawanan dan melonjak ke tangga kedua dalam carta 12 pasukan.

Kelab dari Riyadh itu berada di belakang kelab senegara dari Arab Saudi Al Ahli yang kekal tanpa kalah selepas dua jaringan pemain gantian Ivan Toney membolehkan juara Asia itu menewaskan Al Ain 2-1 di UAE dan mara ke peringkat kalah mata buat kali pertama.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top