Ronaldo pernah kunyah rumput tanda protes kepada jurulatih Juventus

Ronaldo pernah kunyah rumput tanda protes kepada jurulatih Juventus


BEKAS pertahanan Juventus, Gianluca Frabotta mendedahkan satu insiden luar biasa melibatkan Cristiano Ronaldo yang pernah menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap arahan taktikal bekas jurulatih Juventus, Maurizio Sarri.

Menurut Frabotta, kejadian itu berlaku ketika sesi latihan taktikal Juentus pada musim 2019-2020 apabila Sarri sedang menerangkan pergerakan yang perlu dilakukan Ronaldo ketika situasi sepakan percuma.

Namun, bintang Portugal itu dikatakan tidak bersetuju dengan arahan berkenaan.

“Ronaldo seorang contoh terbaik dalam latihan harian. Tetapi ada satu peristiwa yang saya tidak dapat lupakan. Ketika Sarri menunjukkan gerakan taktikal yang perlu dibuat, Ronaldo kelihatan terganggu. Dia tidak perlukan arahan seperti itu kerana dia berbeza dan dia tahu sendiri ke mana bola akan pergi,” katanya kepada Corriere della Sera.

“Sebagai tanda protes, dia cabut sedikit rumput, menghidu dan mengunyahnya. Dia kemudian menjelaskan kepada jurulatih: ‘Saya suka faham padang ini dan ke mana arah bola akan pergi,” katanya.

Menariknya, meskipun wujud ketegangan itu, musim bersama Sarri sebenarnya menyaksikan Ronaldo berada pada prestasi terbaik sepanjang kariernya di Itali apabila menjaringkan 37 gol dalam 46 perlawanan termasuk membantu Juventus menjuarai Serie A musim tersebut.

Ia menjadi kejuaraan liga terakhir kelab itu hingga kini.

Ronaldo menamatkan tiga musimnya di Turin dengan 101 gol dalam 134 penampilan sebelum berhijrah ke Manchester United pada 2021.

Sementara itu, Frabotta yang kini beraksi bersama kelab Serie B, Cesena, turut berkongsi kisah sukar ketika dipinjamkan ke West Bromwich Albion musim lalu.

“Selepas beberapa bulan positif di Cosenza, saya menerima tawaran daripada West Bromwich, tetapi ia tidak berjalan baik. Ada individu yang bersikap tidak menghormati saya. Walaupun saya berlatih dengan baik, saya langsung tidak diberi peluang.

“Ia satu tempoh yang sangat sukar. Saya jauh dari Itali, cuaca berbeza, saya tidak banyak keluar dan tidak faham bahasa. Saya rasa sunyi, tapi saya tetap cuba melawan dan bertahan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Bekas pertahanan Juventus, Gianluca Frabotta mendedahkan insiden Cristiano Ronaldo menunjukkan tidak puas hati dengan arahan taktikal Maurizio Sarri
  • Ronaldo berpendapat dirinya tidak memerlukan arahan tersebut kerana dia memiliki kefahaman sendiri tentang permainan
  • Sebagai protes, Ronaldo mencabut rumput, menghidu dan mengunyahnya sambil menjelaskan cara dia memahami padang dan arah bola
  • Meskipun ada ketegangan, Ronaldo mencatat prestasi terbaik sepanjang kariernya di Itali pada musim tersebut dengan 37 gol dalam 46 perlawanan
  • Frabotta kini beraksi dengan Cesena dan berkongsi pengalaman sukar ketika dipinjamkan ke West Bromwich Albion, merasa tidak dihormati dan sunyi



Source link

OR

Scroll to Top