BINTANG sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo jelas tidak bersetuju dengan kritikan terhadap kualiti Liga Pro Saudi.
Ronaldo, yang meledak hatrik ketika membantu Al-Nassr membenam Rio Ave 4-0 dalam aksi persahabatan tampil memberi pandangan berhubung perkembangan bola sepak di Arab Saudi.
Beliau menjawab soalan mengenai kemasukan rakan sepasukan di skuad kebangsaan Portugal, Joao Felix, yang baru seminggu lalu berhijrah ke Al-Nassr dari Chelsea dengan yuran perpindahan £26 juta (RM148 juta).
Felix sebelum ini dilaporkan berpeluang kembali ke kelab lamanya, Benfica namun perpindahan ke Arab Saudi menimbulkan persoalan sama ada ia pilihan tepat. Ada pihak mendakwa Ronaldo memainkan peranan besar dalam meyakinkan Felix.
“Tidak ada sesiapa yang ‘mencuri’ daripada Benfica. Semua orang tahu Felix pemain yang sangat berbakat. Saya percaya dia akan banyak membantu kami di liga Saudi yang sangat kompetitif.
“Orang luar tak tahu kerana mereka tak berada di sini, tapi kita semua lihat sendiri di Piala Dunia Kelab. Saya rasa ia pilihan lebih baik untuk Felix berbanding bermain di liga Portugal. Lihat saja berapa ramai bintang yang ada di Arab Saudi.
“Walaupun dia tidak beraksi di Liga Juara-Juara, ia keputusan yang sangat bijak. Soal saya telefon dia untuk pujuk? Tidak. Itu bukan kerja saya. Tugas saya hanya berlatih dan bermain,” kata Ronaldo.
Sejak pramusim bermula, Ronaldo sudah menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan dan bertekad menjulang trofi Liga Pro Saudi buat kali pertama sejak berhijrah dari Manchester United pada 2022.
Pemain berusia 40 tahun itu menutup musim lalu dengan kejayaan manis apabila membantu Portugal menjuarai Liga Negara-Negara UEFA.