London: Cristiano Ronaldo memberikan reaksi terhadap Rasmus Hojlund selepas penyerang Manchester United itu meniru sambutan ikoniknya ketika meraikan jaringan ketika kemenangan 1-0 Denmark ke atas Portugal, Jumaat lalu.
Hojlund, 22, masuk sebagai pemain gantian sebelum menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Negara-Negara.
Selepas menjaringkan gol, Hojlund berlari ke sudut padang untuk meraikan bersama rakan sepasukannya sebelum melakukan gaya ‘Siuuu’ Ronaldo, sementara bintang veteran Portugal itu hanya mampu melihat dari bulatan tengah padang.
Bagaimanapun, Hojlund menegaskan dia tidak berniat untuk memperlekehkan Ronaldo, sebaliknya sekadar meniru idola yang banyak mempengaruhi kariernya.
“Ia untuk idola saya. Bukan bermaksud saya mengejeknya atau apa-apa. Saya hanya mahu menunjukkan penghormatan kerana dia sangat penting dalam karier bola sepak saya,” kata Hojlund.
Ronaldo pula tidak melihat tindakan itu sebagai satu isu, malah menganggapnya sebagai satu penghormatan.
“Saya tidak ada masalah dengan itu. Saya tahu ia bukan bertujuan untuk tidak menghormati saya. Malah, bukan hanya dia yang melakukan sambutan saya di seluruh dunia.
“Saya cukup bijak untuk memahami maksudnya. Bagi saya, ia satu penghormatan. Saya gembira dia menyukai sambutan saya,” kata Ronaldo.
Hojlund sebelum ini secara terbuka mengakui Ronaldo sebagai inspirasinya sejak kecil.
“Saya tidak mahu keterlaluan, tetapi Cristiano adalah segala-galanya bagi saya,” katanya kepada media Denmark, DR.
© New Straits Times Press (M) Bhd