BINTANG bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo menegaskan tidak bersetuju dengan pandangan bahawa Lionel Messi merupakan pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, sekali gus mencetuskan semula perdebatan lama antara dua ikon bola sepak itu.
Dalam satu petikan temu bual eksklusif bersama Piers Morgan menerusi program ‘Piers Morgan Uncensored’, pemain kelab Al-Nassr itu secara terbuka menyatakan pendiriannya apabila ditanya sama ada Messi lebih hebat daripadanya.
“Messi lebih baik daripada saya? Saya tidak setuju dengan pendapat itu. Saya tidak mahu berpura-pura rendah diri,” kata Ronaldo.
Kenyataan itu menarik perhatian ramai memandangkan kedua-dua pemain sebelum ini jarang mengulas secara terbuka mengenai siapa yang lebih hebat antara mereka.
Selama lebih sedekad, Ronaldo dan Messi telah mendominasi dunia bola sepak dengan kejuaraan liga, anugerah Ballon d’Or serta pelbagai kejayaan di peringkat kelab dan antarabangsa.
Kini di penghujung karier masing-masing, Ronaldo meneruskan aksi bersama Al-Nassr di Arab Saudi manakala Messi mewarnai saingan Major League Soccer (MLS) bersama Inter Miami, kelab milik legenda England, David Beckham.
Dalam temu bual tersebut, Ronaldo turut menjawab komen bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Wayne Rooney yang sebelum ini memilih Messi sebagai pemain terbaik dunia.
Ronaldo bagaimanapun tidak berkecil hati dengan kenyataan itu dan menegaskan ia bukan satu masalah baginya.
Walaupun sudah berusia 40 tahun, Ronaldo terus membuktikan ketajamannya di hadapan gol. Musim 2025-26 menyaksikan dia sudah menjaringkan sembilan gol dalam 10 penampilan untuk Al-Nassr dalam semua kejohanan.
Ronaldo juga menyatakan keinginannya untuk membawa pulang kejuaraan di Arab Saudi yang merupakan impian yang belum tercapai sejak beliau meninggalkan Manchester United pada tahun 2022.
Dengan karier antarabangsa yang masih belum berakhir, tumpuan kini terarah kepada Piala Dunia 2026 yang mungkin menjadi peluang terakhir Ronaldo untuk menjulang trofi paling berprestij dalam dunia bola sepak dan berpotensi untuk sekali lagi berdepan seteru lamanya, Lionel Messi.
Ringkasan AI
- Cristiano Ronaldo tidak setuju dengan pandangan yang menyatakan Lionel Messi sebagai pemain terhebat sepanjang zaman
- Ronaldo dan Messi telah mendominasi dunia bola sepak dengan meraih banyak kejuaraan liga dan anugerah Ballon d’Or
- Ronaldo kini bermain untuk Al-Nassr di Arab Saudi sementara Messi beraksi untuk Inter Miami
- Ronaldo menyatakan keinginannya untuk membawa pulang kejuaraan di Arab Saudi
- Piala Dunia 2026 mungkin menjadi peluang terakhir Ronaldo untuk memenangi trofi paling berprestij dalam dunia bola sepak





