Ronaldo tetap hebat dan berpengaruh di usia 40 tahun

Ronaldo tetap hebat dan berpengaruh di usia 40 tahun


Riyadh: Cristiano Ronaldo mungkin sudah menghampiri penghujung karier bola sepaknya, tetapi pengaruhnya semakin besar, terutama selepas dia menyambut ulang tahun ke-40 di Arab Saudi semalam.

Bintang Portugal itu dilihat seolah-olah menamatkan kariernya dengan tawaran gaji tinggi apabila berpindah ke Al Nassr di Riyadh dua tahun lalu dalam perjanjian yang dilaporkan bernilai AS$250 juta (RM1.1 bilion).

Namun, pengaruhnya semakin jelas apabila beberapa bintang ternama seperti Karim Benzema dan Neymar yang sering dibelenggu kecederaan turut mengikut jejak langkahnya ke Liga Pro Saudi yang semakin berkembang.

Arab Saudi kemudiannya dianugerahkan menganjur Piala Dunia 2034, yang menjadi simbol kejayaan kerajaan kaya minyak itu dalam meremajakan imej negara melalui sukan, pelancongan dan budaya.

Ronaldo menjadi peneraju dalam perubahan ini, berperanan sebagai duta Piala Dunia Saudi dan kini menjadi fenomena dalam talian dengan lebih daripada satu bilion pengikut di saluran media sosialnya.

Apabila Ronaldo melancarkan saluran YouTube, beliau memperoleh satu juta pelanggan dalam hanya 90 minit dan 20 juta dalam tempoh 24 jam.

Kini, jumlah pengikutnya mencecah 73.5 juta.

Walaupun senyuman putih bersih, tubuh tegap dan promosi produknya mendominasi dunia maya, Ronaldo tetap cergas di atas padang.

Pada Isnin lalu, dia menjaringkan dua gol untuk Al Nassr, termasuk satu gol tandukan terbang yang menjadi ikonnya, dan mengkritik kesilapan dirinya serta rakan sepasukan dengan penuh semangat seolah-olah dia masih bermain dalam El Clasico untuk Real Madrid.

“Seiring dengan usia, keupayaan fizikal akan berkurangan, jadi mudah bagi Ronaldo untuk menerima wang dari Arab Saudi dan perlahan-lahan hilang dari pandangan,” kata Simon Chadwick, Profesor Ekonomi Sukan dan Geopolitik di Skema Business School.

“Namun, semangat dan kegigihan yang terus ditunjukkannya mencerminkan seorang profesional sebenar, pemain yang sangat bersemangat dan seorang atlet yang bertekad, sesuatu yang jarang kita saksikan,” tambahnya.

Walaupun impian Piala Dunia mungkin sudah jauh, berbeza dengan pesaing Argentina, Lionel Messi, rekod masih menanti di depan mata untuk pemenang Ballon d’Or lima kali dan juara Liga Juara-Juara ini.

Pada September, dia berjaya melepasi 900 gol profesional, pencapaian yang belum pernah dicapai dalam perlawanan rasmi.

Kini dengan 923 gol, dan rekod 35 gol Liga Pro Saudi musim lalu, angka 1,000 gol tidak lagi terlalu jauh.

Walaupun prestasi cemerlang ini, Ronaldo masih belum memenangi trofi domestik atau benua bersama Al Nassr, dengan hanya gelaran Piala Juara Kelab Arab 2023 sebagai kejayaan tunggalnya di kelab berkenaan.

Persoalan kini timbul mengenai masa depan Ronaldo apabila kontraknya tamat pada Jun, tanpa sebarang pengesahan sama ada dia akan melanjutkan kontraknya di Arab Saudi.

Tidak kira sama ada dia kekal, pergi, atau bersara, Ronaldo mengubah bola sepak di negara gurun itu, sambil terus mengembangkan jenamanya sendiri.

“Tanpa ragu, kehadirannya adalah kunci untuk bidaan Arab Saudi bagi Piala Dunia, terutama dengan percakapannya yang sentiasa positif mengenai Arab Saudi,” kata penganalisis bola sepak TV Mesir, Omar Nassef.

“Kehadiran Ronaldo membuka jalan untuk pemain-pemain dari kelab elit Eropah datang terus ke liga Saudi.

“Ini bukan sahaja mengenai wang, tetapi juga mengenai bermain di liga yang mempunyai salah seorang pemain terbaik di dunia.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top