PEMAIN sensasi Al-Nassr yang juga bintang Portugal, Cristiano Ronaldo memberi bayangan untuk memeluk agama Islam.
Perkhabaran mengejutkan itu dikongsi bekas penjaga gol Al-Nassr, Waleed Abdullah menerusi satu temubual dalam program televisyen baru-baru ini.
Waleed memperkatakan mengenai minat mendalam pemain berusia 39 tahun itu dengan budaya tempatan di Arab Saudi.
Beliau berkata, kesediaan Ronaldo untuk memeluk Islam juga adalah hasil hubungan baiknya dengan masyarakat Saudi.
“Ronaldo jujur dengan hasratnya untuk memeluk Islam. Dia menunjukkan minat ketika saya berbual dengannya,” ujar Waleed.
Beliau turut menjelaskan bayangan untuk kembali kepada fitrah itu menerusi gaya sujud Ronaldo ketika meraikan jaringan.
Malah beliau berkata, bekas pemain Real Madrid dan Manchester United itu juga memberi galakan kepada rakan sepasukan di Al Nassr untuk mematuhi ajaran agama.
“Ini antara bukti Ronaldo menghormati tradisi Islam,” katanya.
Waleed memberitahu, sisi lain yang menunjukkan minat Ronaldo ialah apabila dia mempelajari ajaran Islam dan budaya dengan konsisten bagi meningkatkan hubungan persefahaman dengan rakan sepasukan di Al Nassr.
Malah lebih mengejutkan, dia memastikan rakan sepasukannya mempunyai masa untuk solat ketika sesi latihan.
“Ketika azan berkumandang semasa latihan, Ronaldo meminta jurulatih berhenti seketika sehingga tamat azan,” katanya.
Ronaldo juga memperoleh inspirasi untuk mempelajari lebih mendalam budaya Islam menerusi pengaruh bekas rakan sepasukan, Mesut Ozil dan Karim Benzema.